PRU15 : Interaksi dua hala beri input berguna – Tsai Yiew

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Mendekati rakyat secara bersemuka, mendengar permasalahan dan mendapatkan informasi secara langsung adalah cara yang berkesan untuk mendapatkan maklumat sebenar.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Kota Kinabalu, Yee Tsai Yiew, berkata, interaksi dua hala sebegini dapat memberikan input yang berguna bagi mendalami setiap isu yang dihadapi rakyat.

“Beberapa hari ini saya banyak melakukan sesi beramah mesra dan berdialog secara terus dengan penduduk di sekitar Kota Kinabalu. Pada peringkat awal ini, fokus saya adalah untuk berinteraksi terus dan memperkenalkan diri kepada rakyat.

“Setiap orang mempunyai masalah dan keinginan yang berbeza; baik dari aspek kebajikan rakyat, pembangunan, pengangkutan awam, pendidikan dan ekonomi. Interaksi sebegini membolehkan saya mengetahui keadaan sebenar sesuatu permasalahan dan kemahuan rakyat,” katanya semasa sesi beramah mesra di Lintas.

Menurut Tsai Yiew, majoriti rungutan penduduk kepadanya adalah berkenaan masalah harga barang naik, peluang pekerjaan, infrastruktur, kemiskinan bandar dan pendidikan.

“Saya ambil maklum semua permasalahan yang mereka (rakyat) kongsikan kepada saya, dan ini sebenarnya secara tidak langsung adalah masalah saya juga. Kota Kinabalu adalah kampung halaman saya, saya membesar dan bersekolah di sini. Sebagai anak tempatan, Sabahan, saya ingin berkhidmat untuk semua,” katanya.

Selin Ebin, 48, pemilik dobi di Lintas berkata, beliau mahu wakil rakyat yang boleh membantu peniaga-peniaga kecil menyediakan platform atau usaha menarik pembeli untuk memastikan kelangsungan perniagaan.

“Selepas pandemik, banyak kedai yang tutup dan sekarang pembeli tidak ramai yang datang ke kawasan Lintas. Mungkin perlu ada mekanisme untuk menarik lebih ramai orang datang, seperti tamu dan secara tidak langsung ramai yang akan datang,” katanya.

Bagi Angela Tong Su Li, 50, penjual buah di Hilltop, siapapun wakil rakyat yang dipilih haruslah memikirkan kaedah yang terbaik untuk membantu rakyat keluar daripada kemiskinan.

“Saya mahu Sabah bahagia. Kita kena pilih wakil rakyat yang boleh jaga kebajikan rakyat. Saya tidak mahu susah dan negeri yang tidak stabil,” katanya.

Bagi Mohd Faizul, 29, penghantar (rider), mahu isu yang melibatkan keselamatan jalan raya diberi perhatian dan juga kebajikan pekerja dijaga.

“Kami (rider) memerlukan manfaat sosial dan keselamatan semasa menghantar makanan. Kalau kita lihat sekarang, banyak kes-kes kemalangan berlaku yang melibatkan rider. Mungkin wakil rakyat yang dipilih nanti boleh membawa isu ini ke Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Wilfred Chong, 63, seorang pesara mengharapkan generasi baharu dapat menjadi suara untuk rakyat.

“Secara peribadinya, saya melihat perlunya untuk kita memberi peluang kepada generasi baharu yang boleh merealisasikan impian rakyat dan berkhidmat untuk rakyat. Sudah tiba masanya kita untuk melihat ke depan untuk kesejahteraan hidup dan keamanan negeri,”katanya.

Pilihan Raya Umum ke-15, Parlimen Kota Kinabalu menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Yeo Yan Yin@ Amanda (Warisan), Winston Liaw Kit Siong (PKDM), Chan Foong Hin (PH), Yee Tsai Yiew (GRS) dan Marcel Jude (Bebas). SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *