PRU15 : Suhaimi mahu selesai isu Kampung Contoh

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

SANDAKAN: Pewartaan Kampung Contoh di Batu 16 antara yang akan diselesaikan sekiranya kesinambungan kerajaan sedia ada dapat dikekalkan.

Kampung yang terletak di pinggir jalan utama Batu 16 tersebut mempunyai lebih 50 buah rumah sejak tahun 1980-an namun menghadapi kekangan untuk diwartakan atas beberapa factor dan pada ketika ini tanah tersebut adalah kawasan rizab bekalan air.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata beliau akan berusaha membawa isu tersebut ke pihak berwajib sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke 15 nanti.

“Saya akan pastikan kampung ini menjadi milik mereka yang pertama menghuni di sini. Kita akan usulkan isu ini termasuklah menyelesaikan isu perparitan yang membelenggu mereka sejak sekian lama.

“Saya juga sedia maklum dengan masalah penduduk PPR di kawasan Libaran yang mahu pemilikan sewa beli PPR dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa bertemu rakyat pada Majlis Sembang Santai Calon BN di Kampung Contoh Batu 16 di sini kelmarin.

Sementara itu, Suhaimi selaku Ketua Umno Bahagian Libaran juga menjelaskan beliau telah menjalankan tugasnya sebagai ADUN Dilantik dengan menyelesaikan isu lampu jalan bagi kawasan Batu 16.

Katanya, bagi isu itu, peruntukan telah disalurkan kepada Majlis Perbandaran Sandakan dan pelaksanaannya akan bermula tidak lama lagi.

Selain itu, beliau juga telah berusaha membangunkan tanah terbiar di Batu 16 yang mana penduduk sekitar bakal menikmati kemudahan seperti pasaraya, bank, perpustakaan dan sebagainya apabila siap kelak.

Jelasnya, kawasan yang akan dibangunkan sebagai kawasan SEDCO itu difahamkan kini sedang dalam tempoh pelaksanaan oleh SUDC bersama pihak yang berkenaan.

“Oleh itu, tidak ada masalah untuk menyelesaikan lebih banyak isu lagi sekiranya saya diberi kepercayaan sebagai Ahli Parlimen Libaran nanti.

“Saya yakin perkara ini akan dapat kita tangani dan selesaikan sekiranya rakyat memberi mandat kepada BN-GRS,” jelasnya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin, Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Sungai Sibuga, Mohd Hamsan Awang Supain dan mantan Ahli Parlimem Libaran, Datuk Juslie Ajirol. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *