Kerajaan GRS-BN komited kembangkan potensi Sipitang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

BEAUFORT: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi potensi Sipitang berdasarkan kemudahan untuk industri minyak dan gas yang tersedia di kawasan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu lebih mudah untuk direalisasikan jika calon kerajaan negeri yang bertanding atas tiket GRS, Datuk Matbali Musah memenangi kerusi Parlimen Sipitang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Katanya, GRS juga akan mencadangkan supaya Matbali dilantik sebagai Timbalan Menteri Persekutuan jika memenangi kerusi berkenaan agar usaha membawa perubahan yang besar di daerah itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Banyak yang kita dapat lakukan di Sipitang jika Matbali menjadi Ahli Parlimen berdasarkan potensi yang ada di kawasan ini dan kita juga akan mencadangkan supaya beliau menjadi Timbalan Menteri Persekutuan jika menang nanti.

“Di Sipitang ini, kita ada Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan kita sudah merancang untuk mengembangkan lagi taman ini agar dapat menjana lebih banyak aktiviti ekonomi di sini.

“Kerajaan GRS-BN juga sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lapan syarikat besar di SOGIP membabitkan pelaburan kira-kira RM20 bilion. Ini boleh mewujudkan antara 10,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan. Jadi, bayangkan apabila ini terlaksana nanti, Sipitang pasti akan jadi daerah yang maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat, Pengerusi GRS dan Calon GRS Sipitang di Bandar Mingo di sini hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, dengan dasar mesra pelabur dilaksanakan kerajaan negeri, lebih banyak pelaburan disasar dibawa masuk ke negeri ini bukan saja ke Sipitang, malah ke daerah lain termasuk di Kota Kinabalu.

“Banyak lagi pelaburan lain selain di SOGIP termasuk di Kota Kinabalu dan daerah lain, saya akan umumkan nanti apabila sudah dibuat perjanjian.

“Maknanya, dengan dasar mesra pelaburan, kita dapat tarik banyak pelabur datang. Keutamaannya ialah untuk mewujudkan peluang kerja,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Matbali untuk melaksanakan tugas sebagai Ahli Parlimen apabila diberi mandat pada PRU15 bagi menggantikan Yamani dalam usaha membawa perubahan di Sipitang.

“Beliau tidak kurang hebat daripada calon lain atau pemimpin lain kita di Sipitang. Dengan memberi peluang kepadanya bermakna rakyat Sipitang mahukan pembangunan dan kemajuan di sini kerana beliau adalah calon kerajaan negeri,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *