HomeUtamaAgong perkenan lanjut tempoh bentuk kerajaan hingga jam 2 petang esok

Agong perkenan lanjut tempoh bentuk kerajaan hingga jam 2 petang esok

Read Time:1 Minute, 22 Second

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan tempoh masa kepada parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membentuk Kerajaan sehingga jam 2 petang esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda memberi perkenan itu susulan daripada permohonan-permohonan daripada ketua parti dan gabungan parti politik  yang diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.

 “Adalah dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong menzahirkan titah perkenan supaya proses bagi ketua parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik pasca PRU15 bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 dilanjutkan sehingga jam 2.00 petang esok.

“Titah perkenan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan daripada permohonan-permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Fadil memaklumkan, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

Tambahnya, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau ‘Caretaker Prime Minister’ berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).

“Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara.

“Baginda seterusnya turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular