Rencana – Minggu Integriti peringkat Jabatan Ketua Menteri 2022

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:4 Minute, 1 Second

Minggu Integriti  Peringkat Jabatan Ketua Menteri Tahun 2022 yang berlangsung  sejak 14 Ogos hingga Oktober lalu dengan jayanya. 

Objektif utama program tersebut adalah untuk melestarikan serta memantapkan pembudayaan integriti dalam kalangan penjawat awam secara menyeluruh, berkesan dan berterusan.

Kombinasi 

Paling signifikan, sembilan program berjaya dilaksanakan hasil kombinasi dan kesepakatan sembilan jabatan, pejabat serta agensi di bawah Jabatan Ketua Menteri (JKM). 

Program-program yang dilaksanakan termasuk program perkongsian pengalaman dan Integriti oleh Pejabat Bahagian Pengurusan dan Kewangan (BPK) Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Pertandingan Video Pendek Integriti berdurasi tiga minit oleh Jabatan Arkib Negeri Sabah, Pertandingan Slogan Integriti oleh Jabatan Cetak Kerajaan dan Pertandingan Poster Integriti oleh Lembaga Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA).

Turut diadakan, Pertandingan Logo Integriti (DBKK), Ikrar Bebas Rasuah (Jabatan Tanah dan Ukur), Program FIT Integriti (Jabatan Perkhidmatan Awam), Kuiz Integriti (Jabatan Perhutanan Sabah) dan Perisytiharan Harta oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pentadbiran).

Sembilan Pertandingan

Daripada 25 jabatan, agensi dan badan berkanun di bawah JKM, jumlah penyertaan Bahagian Kabinet dan Dasar mencapai 65.22 peratus sekaligus menjadikannya sebagai Jabatan Penyertaan Terbanyak Pertandingan Kuiz Integriti Tahun 2022.

Beberapa kategori lain yang turut dipertandingkan ialah Pertandingan Video Pendek yang dimenangi oleh Peter Yasok dari Jabatan Arkib Negeri Sabah (JANS); Pertandingan Slogan Integriti dirai Shirley Joseph dari Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPAN) dan Pertandingan Kuiz Integriti dirai Hani Sandra Musli (Unit Perancang Ekonomi Negeri).

Bagi Pertandingan Poster Integriti pula, pemenangnya ialah Viviannye Paul (Jabatan Perhutanan Sabah), manakala Pertandingan Logo Integriti dimenangi Rizan Abran dari Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan).

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah serta sijil disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong di Menara Kinabalu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Rosmadi Datu Sulai, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Diyanah Abdullah yang juga Penyelaras Pelaksanaan Minggu Integriti Peringkat JKM Tahun 2022  dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah.

Sijil Akuan Lima Bintang

Majlis Penutupan Minggu Integriti 2022 juga turut menyaksikan lapan jabatan/ agensi di bawah JKM menerima Sijil Akuan Lima Bintang Pencapaian 100 Peratus Isytihar Harta.

Penerima sijil terdiri daripada Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pembangunan); Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah; Bahagian Kabinet dan Dasar; Bahagian Istiadat dan Protokol; Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA); Pihak Berkuasa Pelaburan dan Ekonomi (SEDIA) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pentadbiran).

Penambahbaikan 

Ketika diminta mengulas mengenai sambutan tersebut, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai memaklumkan beberapa usaha penambahbaikan akan dirancang bersama Pejabat SKN termasuk memperluaskan skop perhimpunan dan penglibatan penjawat awam secara menyeluruh.

“Setakat ini pengisian memuaskan, cuma beberapa aspek akan kita tambah baik seperti jumlah kehadiran, kategori-kategori yang dipertandingkan serta hadiah juga akan ditambah.

“Maknanya, perhimpunan itu dibuat secara menyeluruh dengan penglibatan jabatan dan agensi lain, tidak terhad kepada JKM sahaja,” jelas beliau.

Ekspektasi Pelanggan

Apabila membicarakan integriti dalam perkhidmatan awam, masyarakat sebagai pelanggan menerima dengan interpretasi dan ekspektasi yang pelbagai bergantung kepada perkhidmatan yang mereka perlukan.

Ibu kepada dua anak, Deonalissa Jekee Edin, 34, berasal dari Kg. Timbok, Tuaran mengalu-alukan usaha kerajaan untuk membudayakan integriti dalam sektor awam supaya semua peringkat masyarakat menerima manfaatnya.

“Setakat ini, saya tidak berdepan dengan sebarang masalah ketika berurusan dengan mana-mana jabatan atau agensi kerajaan kerana semuanya berjalan lancar, para pegawai juga mesra dan profesional.

“Jadi, saya harap budaya kerja berintegriti yang kerajaan telah terapkan ini akan diteruskan supaya masyarakat mendapat manfaat,” katanya.

Sementara itu, Peniaga Pakaian Bundle, Bustan Made Aming, 43, dari Kg. Pangi Kunak, turut  memberi respon positif berkaitan integriti warga sektor awam.

“Sesetengah pihak menyatakan berurusan dengan pihak berkuasa tempatan agak leceh sekiranya tiada orangNamun, saya dapati semua itu tidak benar kerana semua pelanggan dilayan adil, cekap dan mesra. Perkhidmatannya juga pantas tanpa kita menunggu lama,” kata Bustan.

Bagi ibu tunggal, Rashidah Sharin, 40, dari Papar, integriti bukan sahaja patut dipraktikkan dalam sektor awam tetapi semua organisasi yang menawarkan perkhidmatan termasuk sektor swasta, badan berkanun dan sebagainya.

“Pada saya, integriti adalah perkhidmatan yang telus tanpa meminta atau menawarkan rasuah dan menjalankan tugas mengikut Key Performance Index (KPI) yang telah ditetapkan oleh sesebuah organisasi,” jelasnya.

Kesimpulannya, stigma lapuk masyarakat yang acapkali melabelkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam dengan nilai negatif seperti tidak berintegriti, kurang cekap, sistem konservatif, tidak produktif dan sebagainya seharusnya diberikan pertimbangan sewajarnya./Penerangan-

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *