HomeUtama30 Ahli Dewan Rakyat dititah menghadap secara individu esok

30 Ahli Dewan Rakyat dititah menghadap secara individu esok

Read Time:1 Minute, 4 Second

KUALA LUMPUR: Seramai 30 Ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN) dititah untuk menghadap Yang Di-Pertuan Agong secara individu di Istana Negara pada jam 10.30 pagi esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ia adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada jam 4.30 petang tadi.

“Sesi menghadap secara individu ini dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi esok di Istana Negara.

“Proses ini adalah bertujuan supaya Yang di- Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini petang tadi.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

Katanya, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

300 peserta hadir seminar sempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular