Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima, Dr Jeffrey G Kitingan

Sabah, Sarawak mesti sertai kerajaan perpaduan, kata Kitingan 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Jeffrey Kitingan tampil menyokong kerajaan perpaduan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), komponen GRS, itu berkata pihaknya bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bagi menyelesaikan kebuntuan politik yang melanda negara berikutan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kerajaan perpaduan ialah penyelesaian terbaik yang saya boleh lihat sekarang. Bagaimanapun, kerajaan ini mesti menyertakan kerajaan Sabah dan Sarawak yang dipilih supaya ia berkesan dan benar-benar inklusif.

“Mekanisme kerajaan perpaduan mesti dirangka dengan jelas supaya ia berfungsi,” kata timbalan ketua menteri Sabah itu kepada FMT.

Kitingan berkata, GRS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai 29 kerusi secara keseluruhan, manakala dua Ahli Parlimen bebas dan seorang daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) telah bersetuju untuk bekerjasama sebagai satu entiti.

Katanya, memandangkan “blok Borneo” mempunyai 32 kerusi, ia dapat memberikan kestabilan yang amat diperlukan negara.

“Pemimpin dan parti politik Semenanjung membuatkan Malaysia kucar-kacir. Sudah tiba masanya negeri-negeri Borneo memimpin negara dan menyediakan kestabilan,” katanya.

Pada Isnin, Pengerusi GRS Hajiji Noor mengulangi bahawa gabungan Sabah itu menyokong Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri seterusnya. 

Sementara itu, walaupun pada mulanya menyatakan sokongan kepada Muhyiddin, GPS nampaknya berubah pendirian selepas Barisan Nasional (BN) berkata ia akan kekal sebagai pembangkang.

Gabungan Sarawak itu kemudian berkata, ia menyerahkan kepada Agong untuk menentukan apa yang terbaik untuk rakyat.

Sumber memberitahu FMT semalam bahawa GRS dan GPS telah bersetuju untuk bekerja sebagai satu blok dalam memutuskan siapa yang akan membentuk kerajaan, dan GRS akan menuruti keputusan rakan sejawatan mereka dari Sarawak.

Difahamkan bahawa keputusan GRS untuk bekerja sebagai satu blok dengan GPS telah menimbulkan rasa tidak senang dalam PN.

STAR adalah sebahagian daripada PN, tetapi bertanding atas tiket GRS pada PRU15, bersama-sama Bersatu Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Anggota GRS lain yang bertanding pada PRU Sabtu lepas ialah Parti Bersatu Sabah (PBS).

Kitingan berkata, GRS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu jika kebuntuan politik masih belum selesai menjelang akhir minggu ini.

“Sekarang ini, kami fokus kepada urusan negeri kerana kami akan membentangkan belanjawan esok,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *