HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan bot kargo, muat barang kawalan tanpa permit sah

Maritim Malaysia tahan bot kargo, muat barang kawalan tanpa permit sah

Read Time:1 Minute, 59 Second

LAHAD DATU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan empat buah bot yang membawa muatan pelbagai barang kawalan tanpa permit Isnin lalu kira-kira jam 12.05 tengah malam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada orang awam mengenai kegiatan haram penyeludupan barang kawalan di sekitar perairan Felda Sahabat ke negara jiran.

“Bertindak ke atas maklumat tersebut, dua buah bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Pluto Timur di kawasan tersebut telah berjaya mengesan empat buah bot dalam keadaan mencurigakan bergerak dari Perairan Felda Sahabat menuju ke negara jiran.

“Menyedari kegiatan mereka dikesan, berlaku adegan kejar mengejar sebelum bot-bot suspek merapat ke daratan terdekat dan dua lelaki berjaya ditahan manakala sebahagian suspek berjaya meloloskan diri di kawasan bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas bot-bot yang ditahan di lokasi tersebut mendapati dua lelaki, masing-masing warganegara asing berusia 30 tahun bertindak selaku juragan bersama seorang lelaki warga Filipina berumur 35 tahun sebagai pembantu juragan membawa muatan pelbagai barangan runcit di dalam bot tersebut.

Tambahnya lagi, pemeriksaan menyeluruh ke atas empat buah bot tersebut telah menemukan pelbagai barang kawalan berjadual iaitu 3,791 kilogram (kg) peket minyak masak bersubsidi pelbagai jenama berserta 16 tong gas LPG bersubsidi dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Pemeriksaan ke atas dokumentasi seterusnya mendapati juragan yang berjaya ditahan tersebut gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan dan LPG tong gas yang dibawa.

“Bot, muatan serta kedua-dua kru bot tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Dan Akta Kastam 1967.

“Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan, disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 174,611.20,” katanya.

Sementara itu, Nik Mohd Rizam berkata, statistik tangkapan Zon Maritim Lahad Datu terkini merekodkan 43 kes pelbagai kesalahan.Katanya, daripada jumlah tersebut 10 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967 sejak awal Januari 2022.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Lahad Datu ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu 089-885727 dan talian kecemasan 999,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya