Sunset Stables anjur aktiviti riadah menunggang kuda di 2nd Beach Tanjung Aru

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 52 Second

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED) memperkenalkan aktiviti menunggang kuda sebagai tarikan pengunjung yang terkini selain mempromosikan pantai Tanjung Aru sebagai destinasi rekreasi dan riadah untuk masyarakat umum.

Sunset Stables mula beroperasi di Second Beach Tanjung Aru semalam (30 Nov) dengan menganjurkan riadah menunggang kuda bagi semua peringkat umur, setiap hari bermula daripada jam 9:30 pagi sehingga 6:30 petang bergantung kepada keadaan cuaca.

Pengarah Eksekutif TAED, Datuk Ismail Abdullah berkata, pihaknya sentiasa menggalakan aktiviti-aktiviti riadah yang baharu dan menarik untuk para pengunjung bagi menjadikan Tanjung Aru sebagai tempat yang memberi memori indah kepada para pengunjung.

“Aktiviti menunggang kuda boleh mendidik kanak-kanak dengan kemahiran yang berharga seperti nilai tanggungjawab, nilai kesabaran dan hormat terhadap manusia dan haiwan sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak menimba pengalaman unik dan menyeronokkan yang hanya boleh dirasai ketika menunggang kuda,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Ismail berkata, dalam memulakan aktiviti tarikan utama yang terbaru dan semasa pelancaran aktiviti semalam, Sunset Stables telah menjemput kanak-kanak daripada Seri Mengasih Center, sebuah pusat khas pemaju intelek dan penerajuan kanak-kanak istimewa untuk menikmati pengalaman baharu.

“Menunggang kuda mampu membantu kanak-kanak yang mempunyai autisme untuk meningkatkan kemahiran bahasa dan kognitif, sosial dan kemahiran motor, iaitu kemahiran asas utama yang diperlukan untuk berfungsi dalam kemasyarakatan sekaligus mampu mempromosikan aktiviti menunggang kuda sebagai hobi yang menyeronokkan dan terbuka kepada semua pengunjung tidak kira umur, tinggi dan jantina,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Seri Mengasih Center, Tulip Noorazyze yang turut hadir semasa majlis pelancaran itu berkata, sesungguhnya, terapi berkuda sangat tinggi manfaatnya untuk kanak-kanak autism.

Selain aktiviti menunggang kuda bertempat di papan luncur dahulu, perkhidmatan menarik yang lain turut disediakan termasuk aktiviti menunggang kuda pada waktu terbenam matahari di sepanjang pantai, sesi bergambar dan pelbagai pilihan gerai makan dan minum.

Menurut Pengurus Sunset Stables, Zambri Rahim, diskaun penyertaan kumpulan akan diberi dengan syarat terdapat lima orang atau lebih dalam satu kumpulan penyertaan.

Aktiviti menunggang kuda akan beroperasi dalam jangka masa pendek sehingga Projek Pembangunan Tanjung Aru Eko dimulakan.

Pantai Tanjung Aru yang terkenal merupakan destinasi kegemaran para pengunjung tempatan dan pelancong luar negara untuk menikmati suasana matahari terbenam dan melakukan aktiviti-aktiviti riadah di tepi pantai.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *