Lagi serangan buaya di Lahad Datu, kanak-kanak 7 tahun parah 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

LAHAD DATU: Selepas seorang kanak-kanak hilang dipercayai dibaham buaya, di sini, awal bulan ini, seorang lagi kanak-kanak menjadi mangsa apabila diserang reptilia berkenaan di Kampung Air, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.55 petang itu, kanak-kanak lelaki itu parah di bahagian kaki kanannya akibat digigit reptilia berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan turun ke bahagian bawah rumahnya untuk mengambil ayam.

“Ketika itu, sepupu mangsa telah ternampak seekor buaya yang menghampirinya lalu menjerit untuk memberi amaran kepada mangsa.

“Mangsa kemudian menyelamatkan diri naik ke atas jambatan berhampiran rumahnya namun buaya itu sempat menyerangnya hingga cedera di bahagian kaki sebelah kanan.

Rohan Shah berkata, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa telah menjalani pembedahan di bahagian kaki sebelah kanan dan didapati retak di bahagian tulang kakinya.

“Mangsa kini masih menerima rawatan di hospital dan keadaannya stabil,” katanya.

Sementara itu, Rohan berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu sudah mengenalpasti 28 sarang buaya di sekitar daerah ini.

“Kita telah kenalpasti terdapat 28 sarang buaya di daerah ini dan polis bekerjasama dengan JHL Lahad Datu untuk menjalankan operasi pembanterasan reptilia ganas berkenaan,” katanya.

Pada 1 Dis lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hilang dipercayai dibaham buaya manakala ayahnya parah akibat digigit reptilia berkenaan ketika cuba menyelamatkan anaknya dalam kejadian berhampiran pangkalan Jeti PPM Lahad Datu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *