HomeIsu tempatanProgram pemakanan UMS menangani kanak-kanak pemilih makan

Program pemakanan UMS menangani kanak-kanak pemilih makan

Read Time:2 Minute, 20 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU:  Satu dalam tiga kanak-kanak adalah pemilih makan.  Mereka mengambil kurang sayur dan ikan, namun mengambil lebih susu dan produk tenusu, snek dan makanan segera. 

Program Pemakanan UMS di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan telah bekerjasama dengan jaya dengan Pusat Minda Lestari UMS (PML) sejak 2018 untuk memberikan pendidikan pemakanan berterusan kepada kanak-kanak dan keluarga mereka.

Satu murid PML digandingkan dengan tiga pelajar dan satu pensyarah nutritionist yang bekerjasama dengan keluarga tersebut selama tiga tahun setengah dalam program Pemakanan dalam Penglibatan Komuniti, atau dalam Bahasa Inggeris, Nutrition in Community Engagement (NICE). 

Menurut Ketua Program Pemakanan UMS, Dr. Norliyana Aris, kolaborasi tersebut membolehkan mahasiswa yang mengambil kursus profesional dalam pemakanan untuk mengenal pasti masalah pemakanan, mencadangkan penyelesaiannya, bekerjasama dengan keluarga klien untuk melaksanakannya, memantau keberkesanannya, serta mengubahsuai strategi mengikut keperluan. 

“Buat kali pertama selepas pandemik COVID-19, kita dapat menganjurkan kemuncak program NICE untuk kanak-kanak dan ibubapa.  Pelatih nutritionist merancang program setengah hari yang dipenuhi aktiviti menarik seperti membuat sushi oleh kanak-kanak, demonstrasi masakan sihat, mencari harta karun dan pendidikan pemakanan.

“Bagi menggalakkan pengambilan sayur, kita buat nuget sayur, tempura sayur, kek lobak, dan memasukkan sayur ke dalam sushi.  Kanak-kanak telah makan lobak, tomato, brokoli, kobis bunga, jagung, timun, terung, kacang bendi dan banyak lagi sayur.

“Semua makanan yang dihidangkan habis dalam lima minit.  Kanak-kanak meminta untuk menambah sayur sehingga dua hingga tiga kali,” ujar beliau.

Sehingga kini, 55 klien kanak-kanak dan keluarga mereka telah terlibat dalam program NICE yang telah menjangkau lima kohort mahasiswa. 

NICE telah menyumbang kepada latihan 130 nutritionist, dengan 19 orang telah bergraduat dalam Konvokesyen UMS ke-24 pada 10 Disember 2022.  Penyertaan dalam program NICE adalah percuma bagi kanak-kanak dan keluarga mereka.

Tambah Norliyana, NICE adalah program berstruktur yang direka khas untuk latihan mahasiswa program pemakanan melalui penglibatan berterusan dengan komuniti. 

“Pendidikan pemakanan yang berkesan kepada komuniti adalah penting dalam pencegahan penyakit, iaitu kita berusaha untuk mencapai pemakanan yang baik dan gaya hidup sihat dari muda, bermula dari satu keluarga ke satu keluarga,” katanya.

Manakala bagi Pengarah PML, Dr. Suwaibah Zakaria berkata  program NICE telah menyumbang kepada pengambilan makanan seimbang yang lebih baik dalam kalangan murid-murid tadika dan taska PML. 

“Menu PML dimasak di lokasi dan menyumbang ke arah pencapaian pemakanan yang baik oleh murid-murid.  Menu kami dibangunkan dengan kerjasama pensyarah nutritionist dari Program Pemakanan,” ujarnya.

Sementara itu, Dekan FSMP, Prof Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat dalam kenyataannya berkata Program Pemakanan di UMS memperoleh akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan UMS diiktiraf sebagai institusi yang menyediakan latihan profesional ahli pemakanan di bawah Akta Kesihatan Bersekutu 2016, yang merupakan satu-satunya program yang ditawarkan di Borneo.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Tun Juhar hadir sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat 5 Divisyen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya