Semak data mangsa dengan kadar segera, memudahkan NADMA salur peruntukan dengan cepat – Armizan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 27 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Semua pihak berwajib yang terlibat dalam pengurusan bencana di negeri ini diseru supaya semakan data mangsa dan kerosakan harta benda terbabit dilakukan dengan kadar segera sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang mahu pengurusan bencana seperti semakan data dibuat dengan kadar segera sekiranya berlaku bencana di daerah masing-masing.

“Ini adalah untuk memudahkan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan dengan cepat peruntukan kepada jawatankuasa-jawatankuasa pengurusan bencana di daerah yang terlibat bencana,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke lokasi kejadian dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa terlibat dalam bencana fenomena air pasang dan ombak besar di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam lawatan ke lokasi kejadian itu, Armizan turut menyampaikan sumbangan kit makanan kepada seramai 39 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 210 orang mangsa.

Manakala bantuan wang ehsan akan diberikan kepada KIR yang terjejas tiga buah rumah yang mengalami kerosakan penuh (roboh) akan menerima sumbangan daripada NADMA iaitu sebanyak RM5,000 bagi pembaikan rumah.

Sementara itu, bantuan lain juga telah diberikan seperti sumbangan zakat daripada Pusat Zakat, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah. Bahan kering juga telah diagihkan oleh pihak Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) kepada mangsa yang terjejas.

Dalam pada itu Armizan turut diberi taklimat oleh urusetia pengurusan bencana daerah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah mengenai bencana yang berlaku baru-baru ini di Kampung Tanjung Aru Baru.

Beliau juga turut memaklumkan tujuan beliau hadir selain mengadakan lawatan kepada mangsa-mangsa terjejas, beliau juga ingin melihat sendiri pengurusan bencana di negeri ini di peringkat akar umbi agar diselaras dengan baik.

“Jadi tanggungjawab saya selaku menteri yang diamanahkan untuk menyelaraskan perkara ini, adalah untuk melihat penyelarasan samada perancangan dengan pelaksanaan di akar umbi berjalan dengan lancar supaya tidak wujud kesenjangan diantara perancangan dan pelaksanaan, sekiranya ada untuk menambah baik, kita akan sentiasa menambah baik dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah, saya melihat di tempat-tempat yang kita pergi, kerjasama dan penyelarasan itu semakin baik, bukan sahaja semasa bencana tetapi kita datang melihat sebelum itu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga telah bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi antara penambahbaikannya adalah di mana telco ini memberikan khidmat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka untuk amaran-amaran yang dikeluarkan oleh agensi seperti Meterologi Malaysia (Met Malaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), mereka akan sebarkan kepada masyarakat setempat mengikut lokaliti amaran yang disampaikan.

“Justeru, saya mengharapkan kerjasama itu berlaku secara meluas di seluruh Sabah juga, itulah antara kerjasama penting dan penyelarasan itu berlaku dengan baik di Negeri Sabah dan juga di Kota Kinabalu, itula objektif saya selain daripada melawat mangsa, saya juga ingin melihat penyelarasan berlaku dan apa juga jenis bantuan untuk diberikan kepada masyarakat yang terjejas,” ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *