UMS terima dana lebih RM 1 juta, laksana program PENJANA KPT-CAP Fasa 3

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima dana berjumlah RM1,191,500 daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi pelaksanaan program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) KPT-CAP Fasa 3 pada tahun ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, PENJANA KPT-CAP merupakan sebuah inisiatif kerajaan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat wabak COVID-19.

“Di bawah Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran, objektif utama PENJANA KPT-CAP adalah bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti yang bergraduat pada tahun 2020, 2021 dan 2022 dan masih belum mendapat pekerjaan.

“Kita amat berterima kasih kepada pihak KPT, kerana terus memberikan kepercayaan dan pengiktirafan kepada UMS untuk melaksanakan program ini sejak 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kasim, pelaksanaan program PENJANA KPT-CAP  di UMS dikendalikan Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) di bawah seliaan pengarah, Prof. Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh.

“Melalui inisiatif ini para graduan boleh mengikuti program latihan bagi mendapat dan meningkatkan kemahiran serta berpeluang memperoleh penempatan pekerjaan setelah tamat latihan.

“Program ini merupakan platform terbaik untuk meningkatkan lagi nilai tambah dalam kalangan para graduan selain kemahiran insaniah yang telah diperoleh semasa menimba ilmu di institusi pengajian tinggi.

“Ia sekali gus memastikan para graduan memiliki daya saing yang tinggi dan mempunyai kompetensi yang relevan bagi menjamin kebolehpasaran mereka di alam pekerjaan,” jelasnya.

Untuk rekod, PKPKP UMS telah mengadakan pelbagai program di bawah PENJANA KPT-CAP dengan kerjasama pihak industri dan agensi luar sebelum ini.

Antaranya, penganjuran Kursus Aircraft Manufacturing Technology; Certified Drone Precision Agriculture Proficient; Industrial Internet of Things; Kursus Pengurusan Acara Karnival dan Jualan; Kursus Perunding Unit Amanah, Kursus Keusahawanan, Kursus Digital Marketing, Certified Team Leader dan pelbagai lagi. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *