HomeIsu tempatanRMEC fokus usaha tingkat kesejahteraan masyarakat luar bandar

RMEC fokus usaha tingkat kesejahteraan masyarakat luar bandar

Read Time:2 Minute, 30 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KUDAT: Pusat Pendidikan Perubatan Desa (RMEC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sikuati, Kudat telah dirasmikan pada 18 Januari 2009 oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia pada masa itu iaitu Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dari segi akademik, RMEC menjadi penempatan perubatan komuniti, perubatan keluarga dan penempatan kakitangan perubatan di hospital daerah, dan juga menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma menerusi Program Perkongsian Universiti Keluarga dalam Kesejahteraan Komuniti (PUPUK).

Selain itu, RMEC juga menjalankan perkhidmatan Klinikal (Hospital UMS) dengan menawarkan perkhidmatan pakar berjadual dan juga sebagai pusat kawalan penyakit Tibi.

Dengan sokongan dan kerjasama erat Kementerian Kesihatan Malaysia, RMEC bukan hanya berjaya meningkatkan tahap kesihatan masyarakat setempat bahkan juga berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya aspek kesihatan dalam menjamin kesejahteraan hdiup masyarakat.

Setelah 13 tahun RMEC ditubuhkan dan 28 tahun UMS wujud di Sabah, UMS di bawah teraju Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor pada hari ini  mengambil inisiatif melancarkan Makmal Penyelidikan Luar Bandar di RMEC sebagai “Living-Lab”.

Pelancaran ini sekali gus meningkatkan lagi peranan RMEC sebagai pusat penyelidikan yang turut menekankan pendekatan inovasi sosial di mana masyarakat menjalani proses penyelesaian masalah kesihatan melalui aktiviti penyelidikan dan perkhidmatan kepakaran Perubatan.

Fokus akan ditumpukan kepada masyarakat atau komuniti di Pantai Barat Utara Sabah, iaitu Kudat dan kawasan sekitarnya.

Menurut Datuk Kasim, lebih banyak “Living-Lab” akan ditubuhkan di kawasan-kawasan strategik di Sabah yang menekankan kepada isu-isu setempat yang relevan dengan kepakaran UMS dan rakan strategik yang bakal dilibatkan.

“Untuk perubatan dan kesihatan, “Living-Lab” UMS ini akan ditumpukan di Sikuati, Kudat.

“Masyarakat akan menikmati penyelesaian masalah berkaitan kesihatan melalui kerjasama pakar-pakar perubatan UMS dan pemegang taruh yang relevan, termasuk kerjasama strategik dengan Klinik Kesihatan Sikuati Kudat bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Makmal Penyelidikan Luar Bandar di RMEC, Sikuati.

Di samping itu, beliau memaklumkan, pendekatan secara transformatif meliputi aktiviti penyelidikan, pengajaran, pembelajaran dan operasi klinikal ke arah kelestarian kesihatan awam khususnya komuniti yang terlibat turut ditingkatkan.

Menurut Kasim, untuk jangka masa panjang, “Living-lab” itu dijangka mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dari segi penjagaan kesihatan, pengurangan kes dan kematian disebabkan oleh penyakit berjangkit dan kronik.

“Kita ingin menjadi salah satu penggerak penting dalam menjayakan halatuju Sabah Maju Jaya dalam aspek modal insan dan kesejahteraan rakyat di mana nilai “Leading Towards Innovative Societies” menjadi teras kepada halatuju UMS ke arah menghasilkan masyarakat yang tinggi tingkat kesedaran mereka.

“Dengan hal yang demikian, masyarakat dapat memajukan kehidupan mereka menerusi pelbagai inovasi yang boleh diperolehi menerusi perkongsian kepakaran dari UMS,” jelasnya.

Hadir sama pada program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr Rosalam Sarbatly, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree, , Pengarah Eko-Kampus, Robert Francis Peters, dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Dr Jakaria Dasan.

Yang turut hadir Timbalan-Timbalan Dekan FPSK,  dan para pegawai dan kakitangan RMEC.

Pada program itu, Naib Canselor UMS turut meluangkan masa menyantuni kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan komuniti sekitar. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Sambutan raya JPJ platform eratkan silaturahim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya