49 sekolah di Sabah dilaporkan terjejas banjir

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 49 buah sekolah membabitkan seramai 15,531 murid dan pelajar di tujuh buah daerah di Sabah terjejas ekoran banjir yang melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Abidin Marjan berkata, antara daerah terlibat ialah Pitas; Beluran; Kudat; Sipitang; Beaufort; Kota Marudu dan Lahad Datu.

“Bagi daerah Pitas, sebanyak lima buah sekolah rendah dan satu sekolah menengah ditutup selepas laluan dan sekolah terlibat dinaiki air selain turut dijadikan sebagai pusat penempatan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa terjejas banjir.

“Di daerah Beluran pula, sebanyak 17 buah sekolah rendah dan satu sekolah menengah ditutup selepas laluan dan kawasan sekolah turut dinaiki air.  Terdapat juga sekolah dijadikan sebagai PPS bagi mangsa banjir yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abidin berkata, dua sekolah di daerah Kudat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sikuati dan SK Lok Yuk Sikuati telah dijadikan sebagai PPS mangsa banjir di daerah berkenaan.

Katanya, bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Boon Sipitang, sekolah itu kini dalam proses pembersihan dan sekolah berkenaan tidak beroperasi pada ketika ini.

“Manakala bagi daerah Beaufort, sebanyak tiga sekolah rendah dan satu SJKC ditutup ekoran laluan dan sekolah terlibat juga dinaiki air.

“Di Kota Marudu pula, 13 buah sekolah rendah dan tiga sekolah menengah dilaporkan ditutup selain turut dijadikan sebagai PPS,” katanya.

Dalam pada itu, Abidin berkata, hanya satu sekolah di Lahad Datu ditutup iaitu SK Unico Desa yang terjejas banjir manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan Sugut pula hanya digunakan dewan PPS mangsa banjir. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *