SESB siapsiaga pantau bekalan di Utara Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) siapsiaga memantau bekalan
elektrik di daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas berikutan banjir kilat yang melanda
ketiga-tiga kawasan itu sejak Rabu.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor berkata, pasukan teknikal SESB bersiap sedia 24 jam secara bergilir untuk memastikan keadaan terkawal di
semua pepasangan milik SESB.

Beliau berkata, SESB telah menutup 22 pencawang elektrik di daerah Pitas bagi menjaga keselamatan awam dan penutupan ini secara tidak langsung menjejaskan bekalan ke Kampung Bawang dan beberapa kampung sepanjang Jalan Kinabungan di
daerah itu. Manakala itu, bekalan ke daerah Kudat dan Kota Marudu masih terkawal.

“SESB juga memastikan semua aduan yang diterima daripada pengguna di kawasan terjejas dapat ditangani dengan baik apabila keadaan adalah selamat untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

SESB telah menerima banyak aduan sejak semalam yang melibatkan pokok dan talian tumbang dan pasukan SESB sedang berusaha untuk memperbaiki.

Walaubagaimana, beliau berkata kerja-kerja membaikpulih bekalan dijangka akan mengalami kelewatan disebabkan beberapa jalan perhubungan di daerah tersebut tidak dapat dilalui akibat banjir dan perlu juga mengambil kira faktor keselamatan serta cuaca yang tidak mengizinkan.

Sehubungan dengan itu, pengguna adalah dinasihatkan untuk melaporkan segera aduan kecemasan seperti wayar putus, tiang elektrik tumbang dan pokok tumbang ke atas talian elektrik ke SESB Careline 15454, 088-515000 atau whatsapp 019- 8525427.

Idris turut mengingatkan orang ramai untuk tidak mengalihkan wayar-wayar atau kabel SESB yang jatuh kerana dikhuatiri ada yang bocor dan masih mengalirkan arus elektrik yang boleh menyebabkan renjatan apabila disentuh.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *