HomeIsu tempatanUMS sahut 11 agenda KPT

UMS sahut 11 agenda KPT

Read Time:3 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: 11 agenda Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi Ucapan Perutusan Tahun Baharu 2023 mampu memperkasakan sektor pendidikan tinggi nasional secara menyeluruh.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr Kasim Haji Mansor berkata, hala tuju yang telah digariskan bertepatan dengan kepantasan perubahan dunia yang menuntut kesiapsiagaan tinggi dalam mendepani pelbagai krisis dan cabaran semasa.

“Bagi UMS, setiap pesanan dan inti amanat Yang Berhormat Menteri akan menjadi sumber rujukan utama sebagai roh kepada hala tuju universiti sepanjang tahun 2023.

“Setiap aktiviti sedia ada dan perancangan yang telah dirangka juga akan dilihat dan disesuaikan semula bagi memastikan UMS sentiasa seiringan dengan misi dan visi KPT khususnya ketika kita berada pada era ledakan teknologi permodenan dunia tanpa sempadan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini bagi memberi reaksi terhadap Ucapan Perutusan Tahun Baharu Menteri KPT 2023 yang bertemakan Pendidikan Tinggi: Harapan dan Masa Depan.

Dr Kasim berkata, bagi mendepani cabaran tahun 2023 dan mengurus pelbagai kejutan di tahun-tahun mendatang, UMS menerusi slogan baharu “Leading towards Innovative Societies” (peneraju masyarakat berinovatif) akan terus aktif mengadakan jalinan kerjasama dengan pihak industrii, universiti-universiti di peringkat global, serta institusi-institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Pendekatan-pendekatan yang digunakan memfokus kepada proses pemindahan ilmu kepada masyarakat dengan lebih teratur dan mudah kecapaiannya.

“Dengan keintelektualan yang ada tentunya akan membolehkan inovasi dihasilkan bersesuaian dengan empat sektor teras sumber utama ekonomi negara khususnya di Sabah iaitu pertanian, perindustrian, pelancongan dan perkhidmatan.

“Kepakaran ahli akademik inilah yang menjadi penggerak kepada kemampuan UMS menterjemahkan masyarakat madani yang dihasratkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menyahut agenda pertama dan yang paling utama iaitu menterjemahkan aspirasi nasional secara tegas, tuntas dan tepat,” jelasnya.

Dr Kasim turut menyifatkan empat tugas utama yang diumumkan menteri KPT untuk dilaksanakan Naib Canselor IPT di seluruh negara sebagai satu keperluan yang wajar dan tepat pada masanya.

Empat tanggungjawab tersebut adalah menjadi jurucakap utama institusi ilmu dalam isu nasional; membangunkan pelbagai jaringan strategik untuk kepentingan universiti; meraih dana, waqaf, endowment, infak dan apa jua sumbangan, material dan bukan material bagi memastikan universiti berfungsi sebaiknya; dan membongkar potensi dan kebijakan setiap warga universiti.

Menurut Dr Kasim, bagi menyahut tanggungjawab yang diamanahkan itu, perancangan dan aktiviti sedia ada akan diperkasa dan diperhebatkan.

“Beberapa perancangan awal telah pun digariskan bagi menyahut saranan ini. Yang pertama UMS akan mengadakan permodenan sistem Universiti dengan Memperluaskan jaringan kerjasama dengan pemegang taruh, mewujudkan lebih banyak “Living Laboratory” dengan agensi-agensi kerajaan dan industri.

“Yang kedua, universiti ini akan memanfaatkan sumber alam sekitar sepenuhnya. Dalam konteks negeri Sabah yang terkenal dengan keluasan hutan yang perlu dipelihara, UMS menjalinkan kerjasama pintar dengan pemain-pemain utama dalam industri khususnya “Big Players” dalam sektor Industrial Tree Plantation (ITP) di mana para penyelidik dan pelajar melakukan penyelidikan berkaitan alam sekitar dan perhutanan.

“Yang ketiga, UMS akan meneruskan pembudayaan budi bahasa dan nilai murni oleh pensyarah dan mahasiswa dalam kurikulum dan pengajaran serta aktiviti ko-kurikulum. Dengan kata lain, pembudayaan masyarakat madani diterapkan dalam formal learning, informal learning dan non-formal learning,” jelasnya.

Dr Kasim berkata, universiti itu turut meningkatkan daya cipta menerusi penyelidikan dan inovasi yang mempromosikan ciri-ciri Malaysia Madani dalam semua bidang yang diceburi, terutamanya elemen kemampanan dan kesejahteraan.

“Pada masa yang sama, kita juga mengetengahkan kalangan ahli akademik sebagai tokoh-tokoh pelbagai bidang yang boleh berkongsi kepakaran menyumbang kepada pembangunan dan penerusan masyarakat madani di Malaysia, terutamanya di negeri Sabah.

“Kita juga berhasrat membawa lebih ramai pensyarah, pegawai dan kakitangan pentadbiran, penuntut, alumni dan rakan kerjasama menyantuni lebih ramai golongan sasar di luar bandar dan pedalaman bagi tujuan menguatkan sosio ekonomi menerusi program-program tanggungjawab sosial korporat dan khidmat masyarakat,” ujar beliau.

Katanya, UMS dan seluruh warga kakitangan dan pelajarnya bersedia memberi komitmen penuh dalam menjayakan seluruh agenda serta misi dan visi KPT.

“Selain perancangan awal ini, beberapa perancangan lain juga akan menyusul untuk kita laksanakan pada tahun 2023 sejajar dengan hala tuju KPT bagi memenuhi tuntutan masa kini ke arah masa depan pendidikan tinggi negara yang lebih diyakini, disegani dan dihormati,” tambah Dr. Kasim. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya