Sukan Olahraga Para SUKMA terima insentif kemenangan atlet tertinggi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak RM516,100 insentif kemenangan atlet diberikan kepada atlet Sabah yang berjaya memenangi pingat pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di ibu negara baru-baru.

Pada temasya itu, kontinjen Sabah mencetuskan sensasi apabila kali pertama muncul juara keseluruhan Para SUKMA 2022.

Berdasarkan kepada kedudukan, Sabah mempamerkan aksi cemerlang apabila mengungguli carta kutipan pingat dengan 54 pingat emas, 36 perak dan 35 gangsa.

Sukan Para Olahraga menjadi penyumbang terbesar emas buat kontinjen Sabah apabila menyumbang 30 emas diikuti renang (12), ping pong (lapan), memanah (dua), boling (satu) dan boling padang (satu).

Susulan dari itu, sukan Para Olahraga menjadi penerima insentif tertinggi Para SUKMA dengan jumlah sebanyak RM262,200 menerusi beberapa acara yang disertai.

Bagi acara Para Renang, insentif kemenangan yang diterima adalah sebanyak RM128,900 diikuti dengan Para Ping Pong dan Para Memanah masing-masing menerima RM64,100 dan RM23,100.

Majlis penyampaian insentif kemenangan itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin yang menwakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di sini semalam.

Turut menerima insentif kemenangan adalah Para Tenpin Boling (RM11,900); Para Lawn Bowl (RM10,700); Para Badminton (RM8,700); Para Powerlifting (RM3,500) dan Para Catur (RM3,000).

Terdahulu Ellron ketika menyampaikan ucapan Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM27.02 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan kemajuan sukan termasuk menjalankan kajian Sains Sukan bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan agensi-agensi berkaitan, dalam Belanjawan Sabah 2023.

Katanya, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM21.6 juta bagi kerja-kerja membaikpulih kompleks sukan termasuk arena belia di seluruh negeri demi memastikan kemudahan sukan dan asrama dalam keadaan baik dan kondusif.

Menurutnya, kerajaan berharap dengan peruntukan yang disediakan itu, lebih banyak aktiviti sukan dapat dijalankan serta menyediakan prasarana dan teknologi sukan yang moden dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan atlet untuk berlatih denganlebih efisien.

“Menerusi Dasar Sukan Negeri Sabah, kerajaan berusaha ke arah pembentukanbudaya sukan dan peningkatan tahap kesihatan rakyat negeri dengan memberikan peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat yang menjurus usaha untuk mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa dan dunia,” katanya. – SABAH MEDIA .

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *