MCA Sabah sokong kerajaan pimpinan Hajiji, sedia main peranan ke arah pembangunan negeri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: MCA Sabah mengulangi pendirian sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung berkata, pendirian ini diputuskan MCA Sabah yang bermesyuarat pada 11 Januari 2023 lalu dan telah disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA pada hari ini, 11 Februari 2023.

Katanya, Kerajaan Negeri Sabah yang dibentuk oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah pun berjanji untuk menyokong Kerajaan Perpaduan di peringat persekutuan.

“MCA Sabah juga berpendirian sama dengan MCA Pusat yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Lu, MCA Sabah akan memainkan peranan dengan baik sebagai jambatan penghubung antara kerajaan negeri dan rakyat dalam membantu kerajaan negeri melaksanakan perancangan demi kebaikan rakyat.

“Kami juga akan bersuara untuk rakyat bagi memastikan prinsip kepelbagaian, kesederhanaan dan kesaksamaan terpelihara dalam menjaga kebajikan keseluruhan rakyat Sabah, selain berusaha untuk pembangunan ekonomi negeri supaya rakyat Sabah mendapat manfaat daripadanya.

“MCA Sabah tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor,” ujarnya.

Beliau berkata, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Jawatankuasa Pusat Parti telah memberikan MCA Sabah autonomi yang lebih besar.

“MCA Sabah juga akan memahami dan menggunakan kuasa autonomi ini untuk memainkan peranan sendiri dalam politik tempatan Sabah secara aktif bagi menjaga kepentingan dan hak rakyat Sabah.

“MCA Sabah juga menyeru semua rakyat Sabah agar mengetepikan perbezaan dan terus kekal bersatu di bawah pimpinan YAB Ketua Menteri untuk menggalakkan pembinaan dan pembangunan negeri supaya Sabah boleh bergerak ke arah kemakmuran dan kemajuan,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *