Pameran berkaitan STI China akan diadakan di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU : Satu pameran berkaitan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) daripada China akan diadakan di negeri ini sebelum penghujung tahun ini menerusi kemasukan 50 bahan pameran.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, inisiatif itu akan dapat memberi kebaikan dan potensi kepada pembangunan STI dikalangan pelajar di negeri ni.

“Pada hari ini kita menerima kunjungan daripada Konsulat China di Kota Kinabalu dan satu berita baik dari beliau bahawa China bercadang untuk membawa pameran STI ke negeri ni.

“Rancangan ini akan dilaksanakan setelah perbincangan antara pihak kementerian dan Konsulat China mencapai kata putus melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada Konsulat China yang diketuai Dr Huang Shifang di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Datuk Zainuddin Aman.

Mohd Arifin berkata, pameran itu dijangka akan diletakkan di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) cawangan Tanjung Aru apabila telah mencapai persetujuan kedua-dua pihak.

“Seperti yang kita sedia maklum, China sangat ke depan dalam bidang STI.  Dengan itu kita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Konsul Jeneral kerana sudi untuk berkolaborasi dengan kementerian kita.

“Sudah pasti ini sangat baik untuk masyarakat khususnya pelajar dan kita akan letakkan di Perpustakaan di Tanjung Aru.  Mudah-mudahan ini akan memberi manfaat kepada masyarakat khususnya pelajar di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Zainuddin berkata, salah satu daripada bahan pameran yang akan dipamerkan adalah kubah planetarium berkeluasan sehingga 10,000 kaki per segi dan setinggi enam meter.

Katanya, bahan pameran itu akan ditempatkan ruangan terbuka PNS bagi tujuan pendedahan kepada ilmu astronomi.

“Salah satu daripada item tersebut adalah dome planetarium untuk melihat angkasaraya lebih kurang berketinggian sekitar enam meter. Jadi kita memerlukan satu kawasan yang agak luas dalam sembilan hingga sepuluh ribu kaki per segi.

“Kita telah berseteju setelah berbincang dengan Yang Berhormat menteri tadi untuk meletakkan pameran ini di ruangan terbuka ataupun di dalam Perpustakaan di Tanjung Aru,” katanya.

Zainuddin berkata, MoU yang akan ditandatangani antara China dan KSTI itu akan berkuatkuasa selama tiga tahun.

Katanya, pihaknya turut mempertimbangkan untuk membawa bahan pameran terbabit ke daerah lain seperti Sandakan dan Tawau untuk didedahkan kepada pelajar di kedua daerah tersebut. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *