HomeIsu tempatanUMS, ITBM jalin kerjasama berkaitan bidang terjemahan dan suntingan

UMS, ITBM jalin kerjasama berkaitan bidang terjemahan dan suntingan

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjalinkan kerjasama bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi memperkasa bidang penterjemahan dan penyuntingan antara kedua-dua pihak.

Jalinan kerjasama tersebut dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, UMS.

UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor menandatangani dokumen MoU tersebut, sambil disaksikan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

ITBM pula diwakili Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Sakri Abdullah dan disaksikan Pengurus Pembangunan Perniagaan ITBM, Nor Azanizan Anawar.

Kasim dalam ucapannya sempena majlis tersebut memaklumkan, MoU itu antara lain bertujuan meningkatkan bilangan penterjemah dan penyunting bertauliah dalam kalangan kakitangan akademik UMS.

“Kerjasama ini juga adalah bagi mengetengahkan UMS sebagai salah satu hab khidmat terjemahan dan suntingan berkualiti di Sabah khasnya dan Malaysia amnya.

“Selain itu, kedua-dua pihak juga komited untuk memperkenalkan bidang dan kebolehan terjemahan dan suntingan sebagai satu kerjaya yang boleh dipercayai, berpotensi dan mampu memberi nilai tambah,” katanya.

Menurutnya lagi, UMS dan ITBM bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam tiga perkara.

“UMS dan ITBM akan menganjurkan Bengkel Penterjemahan dan Penyuntingan untuk kakitangan akademik UMS bagi memperluaskan bilangan penterjemah bertauliah di UMS, selain membangunkan dan mempromosikan UMS sebagai ITBM East Malay Hub termasuk penyediaan logistik dan khidmat kepakaran oleh ITBM.

“Perkara ketiga ialah dari aspek penerbitan buku, iaitu memberi pendedahan, latihan dan peluang kepada warga UMS untuk menerbitkan buku tanpa kerumitan proses penerbitan dan masalah kos,” kata Kasim.

Beliau menambah, pelbagai impak positif mampu terhasil daripada MoU UMS-ITBM tersebut.

“Skop kerjasama yang menyeluruh ini bakal memberi impak yang positif dalam kemenjadian UMS sebagai salah satu hab khidmat terjemahan dan suntingan berkualiti dan secara tidak langsung membawa kepada peningkatan keterlihatan dan prestij universiti.

“MoU ini juga bakal mengeratkan hubungan antara UMS dengan ITBM agar dapat saling membantu dan berkongsi ilmu dalam menjayakan program-program yang dikenal pasti,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; Penasihat Undang-undang UMS, Awang Suhaizam Bongsu; Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng; dan Eksekutif Kanan Komunikasi dan Perhubungan Awam ITBM, Norzaiti Abd Talib. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya