HomeIsu tempatanKementerian Kerja Raya Sabah diminta segera baiki paip pecah, ganti paip baharu...

Kementerian Kerja Raya Sabah diminta segera baiki paip pecah, ganti paip baharu di seluruh Sabah – SAPP

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah perlu segera memulakan pembaikan paip pecah dan penggantian paip lama kepada yang baharu di seluruh Sabah kerana kadar NRW (air tanpa hasil) di Sabah menghampiri 60 peratus.

Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Edward Dagul berkata, beliau menyatakan perkara tersebut adalah kerana lebih separuh daripada air terawat yang dikeluarkan oleh Jabatan Air menjadi sia-sia.

“Tidak kira berapa banyak lagi air yang dirawat dan dihasilkan kerana sebahagian besar air itu hilang semasa peringkat pengedaran dan bukannya sampai kepada pengguna.

“Ini adalah idea yang mudah bahawa kita tidak memerlukan jurutera air untuk memikirkannya. Apa yang jurutera air perlu lakukan ialah menyelesaikan tugas menyediakan kerja kontrak untuk pembaikan dan penggantian paip yang lama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Edward, daripada maklumat yang beliau perolehi dan boleh dipercayai, sekurang-kurangnya RM300 juta diperlukan untuk membaiki dan menggantikan paip untuk dua tahun akan datang.

“Kerja kontrak ini, apabila diperuntukkan kepada banyak kontraktor air bersaiz kecil dan sederhana, juga akan membantu merangsang ekonomi tempatan. Tidak ada keperluan segera untuk empangan mega yang kononnya akan menelan belanja lebih RM3 bilion,” jelasnya.

Edward seterusnya menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk melihat secara serius cadangan Empangan Tenaga Hidro Padas sebagai alternatif kepada empangan Papar, yang boleh disesuaikan untuk membekalkan air di sepanjang Selatan Sabah ke Kota Kinabalu dan ke Labuan, serta mempunyai kesan bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan Beaufort.
Sumber air di Padas Atas telah berada di papan carta selama beberapa tahun.

“Dengan mengurangkan NRW kepada, katakan 20 peratus, yang merupakan norma di negeri yang besar dan berpenduduk jarang seperti Sabah, kita boleh menjimatkan ratusan juta ringgit hanya dengan memberi tumpuan kepada mengurangkan NRW,” tambah Edward.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pesta Kaamatan landasan terbaik kukuhkan ikatan perpaduan merentasi agama, bangsa dan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular