HomeUtamaKeluarga mangsa nahas Double Six mohon laporan forensik pesawat dari kerajaan Australia...

Keluarga mangsa nahas Double Six mohon laporan forensik pesawat dari kerajaan Australia didedahkan

Read Time:2 Minute, 46 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PENAMPANG: “Bagi kami, kami merasai laporan itu tidak lengkap dan memanjangkan lagi persoalan kami, ia sangat menyakitkan apabila kehilangan orang-orang yang kita sayang apalagi kehilangan seorang bapa yang baru berusia 37 tahun, ia sangat menyakitkan,” kata Datuk Donald Peter Mojuntin anak kepada mangsa Tragedi Double Six mendiang Datuk Peter J. Mojuntin.

Peter adalah di antara sebelas mangsa nahas pesawat yang terhempas pada 6 Jun 1976 yang turut mengorbankan Ketua Menteri pada ketika itu Allahyarham Tun Fuad Stephens.

Donald memohon kepada kerajaan untuk mendapatkan laporan forensik nahas pesawat daripada kerajaan Australia untuk didedahkan kepada umum selain laporan nahas yang didedahkan oleh kerajaan Malaysia semalam.

“Kami sangat gembira laporan ini dinyahklasifikasikan, kami sangat menghargainya tetapi selepas laporan tersebut didedahkan kepada umum, kami berasa sedikit kecewa dan tidak puashati, kenapakah laporan seperti itu yang jelas nampaknya mempertanggungjawabkan kesalahan tentang tragedi itu kepada juruterbangnya tidak didedahkan lebih awal.

“Kami tengok laporan itu dan sudah membacanya beberapa kali tidak ada sebab dia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), OSA ini bukan calang-calang kalau di diklasifikasikan dia sebagai rahsia negeri dan kalau kerajaan ingin membuat sedemikian ia sepatutnya mempunyai sebab-sebab yang begitu berat begitu penting seperti seumpamanya kepentingan umum, keselamatan negara tetapi apabila kita membaca laporan tidak ada perkara seperti itu berkaitan jadi keluarga terfikir kenapa ia diklasifikasikan hampir 50 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman rasmi keluarganya di Kampung Hungab, dekat sini hari ini.

Menurut Donald, setiap tahun malah dari awal lagi keluarganya ingin mencari ketenangan selepas kejadian nahas Double Six itu.

“Namun setiap tahun banyak persoalan yang timbul atau konspirasi boleh dikatakan tempoh 47 tahun itu ia berpusing kembali, jadi tiada ketenangan yang kami dapat dari perkara ini,” ujarnya

Beliau menganggap laporan itu tidak lengkap, malah katanya, bagi keluarga-keluarga yang lain juga mereka merasai perkara yang sama.

“Manakah laporan forensik kapal itu?
Apa yang terjadi dengan kotak hitam?
Kenapakah saksi-saksi yang dicari menyatakan juruterbang itu ada sakit perut?

“Dari apa yang kita tahu, saya masa itu baru sebelas tahun selain itu kami mendengar saksi-saksi yang wujud menyatakan ada letupan sebelum pesawat itu jatuh ke laut jadi perkara-perkara itu tidak disebut dalam laporan tersebut.

“Jadi persoalan lebih lagi mengapa perkara ini diklasifikasikan mungkin ada sebab-sebab yang lain ataupun ia melindungi sesuatu entiti atau orang-orang yang berkepentingan jadi itulah pendirian keluarga kami sekarang.

“Justeru kami ingin memohon kepada kerajaan walaupun mereka telah membuat tindakan yang betul, kerajaan sekarang ini telah membuat yang terbaik dalam perkara ini, kita berterima kasih, tetapi kita memohon kepada kerajaan teruskan membuat sesuatu yang terbaik kepada isu ini, tolong bina pasukan untuk menyiasat perkara ini lebih lanjut.

“Mungkin dapatkan laporan daripada kerajaan Australia untuk didedahkan laporan mereka dan kongsi kepada kita , bukan saja keluarga ini mencari ketenangan mengenai perkara ini tetapi juga rakyat Sabah yang saya percaya juga mempunyai perasaan yang sama,” katanya.

Bagaimanapun beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membuka laporan ini kepada umum.

“Kami sangat-sangat menghargainya tetapi masalahnya ia menimbulkan lebih banyak persoalan daripada mendapat ketenangan,” katanya.

Sementara itu, isteri mendiang Peter, Datin Nancy Mary Mobijohn ketika ditemui berkata, beliau juga tidak merasakan laporan nahas Double Six yang didedahkan semalam menjawab segala persoalan.

“Pada saya laporan itu tidak ada perubahan mengenai persoalan kami selama 47 tahun penantian, tidak ada perubahan,” jawabnya ringkas.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah FC juara Piala SMJ 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya