Aidilfitri: TLDM pertingkat rondaan kawalan keselamatan di perairan negara

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 4 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mempertingkatkan rondaan kawalan keselamatan di perairan negara dan melaksanakan beberapa operasi menjelang Aidilfitri.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata penugasan TLDM berterusan seperti biasa selama 24 jam dan pusingan kapal anggota yang bertugas telah ditetapkan untuk memastikan operasi berkenaan sentiasa berjalan.

“Penugasan ini membolehkan kita semua berhari raya dengan tenang dan selesa. Selain itu, TLDM juga bergabung dengan agensi penguatkuasaan lain bagi meronda perairan negara.

“Saya juga akan berbuka puasa dan bersama-sama dengan warga TLDM yang bertugas semasa hari raya serta melawat mereka pada malam raya di lima stesen TLDM di luar pantai di sekitar Laut China Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas melakukan kunjungan di semua bahagian Markas TLDM sempena Aidilfitri di Wisma Pertahanan, di sini semalam.

Abdul Rahman turut mengambil kesempatan memberi nasihat dan peringatan kepada warga TLDM supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga semasa memandu pulang ke kampung serta beraya secara sederhana.

Selain itu, beliau juga berkesempatan berinteraksi secara dalam talian bersama 43 warga TLDM yang sedang berkursus dalam pelbagai kepakaran di 15 negara.

Negara berkenaan adalah Jepun, Singapura, Arab Saudi, Filipina, Thailand, United Kingdom, Bangladesh, Korea Selatan, Pakistan, Taiwan, India, Jerman, Australia, Indonesia dan Amerika Syarikat. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *