HomeIsu tempatanUMS, Kedutaan Malaysia bincang jalin kerjasama penyelidikan bersama universiti Belanda

UMS, Kedutaan Malaysia bincang jalin kerjasama penyelidikan bersama universiti Belanda

Read Time:1 Minute, 39 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

The Hague : Delegasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diketuai oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor telah mengadakan perbincangan dua hala bersama Duta Besar Malaysia ke Belanda, PYT Datuk Nadzirah Osman, di Pejabat Kedutaan Malaysia di The Hague, baru-baru ini.

Perbincangan tersebut menekankan hubungan strategik antara UMS dan institusi pengajian tinggi di negara itu dalam bidang pengurusan sumber air, pertanian pintar (smart agriculture), minyak dan gas serta pengkomersialan produk menerusi kerjasama sinergi antara universiti, kerajaan dan industri.

Menurut Kasim, antara universiti di Belanda yang dikenal pasti berpotensi menjadi rakan strategik UMS termasuklah IHE Delft Institute for Water Education, Leiden University dan Delft University of Technology.

Katanya, universiti-universiti itu mempunyai kekuatan dan kelebihan yang dapat menjadi sumber rujukan kepada UMS dalam bidang kepakaran masing-masing.

“IHE Delft Institute for Water Education mempunyai kepakaran dalam pengurusan sumber air, Leiden University dalam penyelidikan pertanian pintar dan bioteknologi, dan Delft University of Technology telah melahirkan pelbagai pengkomersialan produk hasil dari penyelidikan para pelajar dan pensyarah mereka.

“Sebelum ini, UMS telah mempunyai hubungan dengan IHE Delft Institute for Water Education seawal tahun 2012 dan universiti ini sedang giat menjalankan penyelidikan bersama dengan Leiden University bagi menghasilkan vaksin ikan kerapu untuk tujuan sekuriti makanan.

“Kita juga berharap agar kerjasama akan terjalin dengan Delft University of Technology memandangkan UMS mempunyai perancangan strategik untuk membangunkan hab pengkomersialan tersendiri bagi membantu warga universiti mengkomersialkan produk-produk hasil penyelidikan dan inovasi,” ujarnya.

Pada perbincangan tersebut, Nadzirah turut berkongsi mengenai peranan universiti-universiti di Belanda yang menyumbang ke arah kejayaan pengkomersialan produk melalui dana dan fasiliti yang disediakan oleh pihak industri.

Ia dilihat sebagai satu usaha meningkatkan tahap kompetitif serta menjamin kelestarian sebuah produk yang diterbitkan oleh universiti untuk syarikat-syarikat yang terlibat.

Perbincangan dua hala itu turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly dan Ketua Canselori Kedutaan Malaysia ke Belanda, Dr. Mohd. Norhisyam Mohd Yusof. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Sambutan raya JPJ platform eratkan silaturahim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya