Penjawat awam dan pesara didakwa 34 pertuduhan babitkan kes rasuah bernilai RM780,000

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam dan seorang pesara kerajaan mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan berkaitan kes rasuah membabitkan pemalsuan Penyata Cukai Jualan Negeri Borang 4 Kementerian Kewangan Negeri Sabah yang melibatkan nilai wang sebanyak RM780,000.00 dalam tahun 2014 hingga 2015, di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini (23 Mei).

Tertuduh Zulfikar Khomeini Asli, 44, dan Mat Salleh @ Awang Sapong Sapong, 67, mengaku tidak bersalah selepas kesemua 34 pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Jason Juga.

Menurut pertuduhan, pada tahun 2014 hingga 2015, Zulfikar didakwa menerima rasuah yang dikaitkan dengan memalsukan penyata cukai jualan minyak sawit manakala Mat Salleh didakwa bersubahat dengan Zulfikar dalam melakukan kesalahan itu.

Kedua-dua tertuduh secara rasuah bersetuju menerima suatu suapan iaitu wang sebanyak RM780,000.00 secara pemindahan wang menggunakan 34 cek Hong Leong Bank daripada Syarikat Kilang Sawit Bell Sdn Bhd melalui akaun Syarikat Lihot Construction dan Syarikat Sri Atussin Enterprise untuk tidak mengambil tindakan menjalankan lawatan pemeriksaan mengejut terhadap Kilang Sawit Bell Sdn Bhd mengenai pemalsuan Penyata Cukai Jualan Negeri Borang 4 Kementerian Kewangan Negeri Sabah.

Menurut pertuduhan, Zulfikar, sebagai juruaudit (Gred W44) di Unit Cukai Jualan Negeri (UCJN) di Kementerian Kewangan Negeri Sabah didakwa menerima rasuah antara RM15,000 dan RM30,000 daripada sebuah syarikat minyak sawit.

Wang itu adalah dorongan kepada Zulfikar untuk tidak melakukan pemeriksaan mengejut ke atas pemalsuan Penyata Cukai Jualan Negeri di syarikat minyak sawit itu antara Mei 2014 dan Okt 2015.

Wang itu kemudiannya dipindahkan ke dua akaun bank syarikat milik ibu dan adiknya (Zulfikar) antara 24 Julai 2014 dan 24 Nov 2015, di cawangan Maybank di Sipitang.

Zulfikar, yang kini berkhidmat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Manakala Mat Salleh yang pada ketika itu (2014-2015) bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Gred N22) di Kementerian Kewangan
Negeri Sabah melakukan kesalahan kerana bersubahat dengan Zulfikar pada tahun 2014 hingga 2015 dan menerima suapan diantara RM13,000 hingga RM30,000 dari syarikat milik adik Zulfikar, Syarikat Sri Atussin Enterprise daripada Kilang Sawit Bell Sdn Bhd.

Kesemua 34 pertuduhan terhadap Mat Salleh menyatakan dia didakwa bersubahat dengan Zulfikar ketika dia (Mat Salleh) menjadi pembantu tadbir (GredN22) di Bahagian Audit Dalam Negeri.

Pertuduhan, mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 17(a) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Zulfikar dan Mat Salleh masing-masing diikat jamin RM80,000 dengan RM20,000 didepositkan di bawah dua penjamin tempatan sementara menunggu kes masing-masing diselesaikan.

Mahkamah turut memerintahkan mereka melaporkan diri di pejabat SPRM dua bulan sekali. Pasport kedua-duanya diperintahkan untuk diserahkan kepada mahkamah dan mereka diarahkan untuk tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sementara menunggu penyelesaian kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee mewakili SPRM.

Peguam Hamid Ismail mewakili Zulfikar manakala peguam Azhier Farhan Arisin dan Mohd Syarulnizam Mohd Salleh mewakili Mat Salleh.

Mahkamah menetapkan 17 Julai ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan ke atas kedua-dua tertuduh.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *