DUN Sabah: Pemaju perumahan swasta tidak minat bina rumah kos rendah, kos bahan mentah meningkat – Joachim

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan telah memberikan pelbagai insentif kepada pemaju perumahan dalam usaha menggalakkan penyertaan pemaju swasta untuk membina rumah kos rendah di negeri ini.

Namun begitu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Joachim Gunsalam berkata, beliau mendapati pemaju perumahan swasta tidak berminat untuk membina rumah kos rendah berikutan peningkatan kos bahan mentah yang semakin meningkat.

“Pelbagai insentif dan galakan telah diberikan kepada pemaju perumahan untuk membina rumah kos rendah tetapi mereka lebih cenderung untuk membina rumah mampu milik, kos sederhana dan tinggi bagi memaksimakan keuntungan.

“Pihak kerajaan akan meneliti alternatif terbaik untuk menggalakkan pemaju perumahan swasta ini terlibat sama di dalam program pembangunan perumahan awam kos rendah ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Datuk Raime Unggi (ADUN Dilantik) yang bertanya apakah usaha pihak kementerian untuk menangani masalah pembinaan rumah kos rendah yang kian berkurang oleh pihak pemaju rumah akibat kenaikan kos bahan binaan di Sabah.

Menurut Joachim, harga rumah kos rendah terkini adalah di antara RM42,000 hingga RM55,000 seunit.

Bagaimanapun, katanya, pada masa kini pelaksanaan rumah kos rendah bergantung sepenuhnya kepada dana peruntukan kerajaan negeri dan persekutuan.

“Pembinaan rumah kos rendah di negeri ini dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) bagi agensi kerajaan negeri dan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta Jabatan Perumahan Negara (JPN) bagi agensi kerajaan persekutuan.

“Bagi pembangunan rumah kos rendah di bawah agensi Kerajaan Negeri iaitu program pembinaan rumah di atas tanah sendiri melalui Skim Pinjaman Perumahan untuk Golongan Berpendapatan Rendah (SPPUGBR) serta Skim Pinjaman Rumah Panjang (SPRP) dikendalikan oleh pihak LPPB,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, setakat ini LPPB telah membina sebanyak 29,218 unit rumah kos rendah di seluruh negeri Sabah dan 175 unit lagi sedang dibina di dalam RMKe-12 ini yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *