HomeIsu tempatanUMS, UNDIP meterai kerjasama penyelidikan masyarakat maritim asia tenggara

UMS, UNDIP meterai kerjasama penyelidikan masyarakat maritim asia tenggara

Read Time:1 Minute, 39 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu :Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Diponegoro (UNDIP), Semarang, Indonesia telah memeterai satu perjanjian kerjasama penyelidikan berkaitan bidang masyarakat maritim di Asia Tenggara.

Pemeteraian kerjasama tersebut disempurnakan dalam satu acara menandatangani dokumen perjanjian antara kedua-dua pihak di bangunan Fakulti Ilmu Budaya, UNDIP.

Perjanjian kerjasama antara kedua-dua universiti ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly yang mewakili UMS, dan Dekan Fakulti Kemanusiaan UNDIP, Dr. Norhayati M. Hum.

Sesi pertukaran dokumen perjanjian penyelidikan turut disempurnakan oleh Rosalam dan Wakil Rektor (Penyelidikan dan Inovasi) UNDIP, Prof Dr. Ambariyanto.

Rosalam dalam satu kenyataan berkata, kerjasama kajian kelautan begitu signifikan dengan mengambil kira kepentingan agenda kelautan kepada kepulauan Asia Tenggara dan dunia pada masa kini.

“Skop penyelidikan berkaitan kelautan adalah sejajar dengan kedaulatan Malaysia memandangkan wilayah Sabah dikelilingi oleh laut-laut yang dihuni oleh komuniti nomad, dan menjadi kawasan tuntutan bertindih antara negara-negara yang bersempadan dengan wilayah ini.

“Kerjasama penyelidikan ini akan dipimpin oleh Prof. Dr. Ismail Ali yang juga merupakan pengkaji sejarah maritim dari UMS, dan Prof. Dr. Singgih Tri Sulistiyono yang juga pengkaji sejarah dari UNDIP,” katanya.

Selain pemeteraian  perjanjian kolaborasi penyelidikan, turut berlangsung acara menandatangani Surat Niat (LoI) antara kedua-dua pihak bagi potensi kerjasama lain, serta ucaptama oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Prof. Madya Dr. Asmady Idris, dan sesi seminar akademik yang disertai oleh pensyarah dari UMS dan UNDIP.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor telah menyatakan sokongan terhadap usaha penyelidikan menerusi jaringan antarabangsa sebagaimana kerjasama antara UMS dan UNDIP tersebut.

Katanya, kajian secara bersama akan lebih merancakkan penerbitan bersama, pertukaran kakitangan akademik dan pelajar, penganjuran persidangan dan sebagainya.

Delegasi UMS ke UNDIP turut disertai oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FSSK, Dr. Syahruddin Awang; Ketua Program Sejarah FSSK, Dr. Eko Prayitno Joko; dan beberapa  pensyarah yang terlibat dalam pembentangan kertas kerja dalam seminar akademik di universiti tersebut. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

DBKK lancar piawaian kebersihan dan keteraturan sektor operasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular