FPL UMS jalin kerjasama strategik dengan Universitas Muhammadiyah Makassar, Indonesia

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Kampus Sandakan telah mengadakan jalinan kerjasama strategik bersama Fakulti Pertanian, Universitas Muhammadiyah Makassar (Unismuh), Sulawesi, Indonesia.

Kerjasama antara kedua-dua universiti itu meliputi pelbagai bidang termasuklah penyelidikan, persidangan, penerbitan dan mobiliti.

Kerjasama tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani Surat Niat (LoI) di antara kedua-dua pihak di Unismuh bersempena dengan program lawatan rombongan UMS ke universiti-universiti di Indonesia, baru-baru ini.

Menurut Dekan FPL, Prof. Madya Dr. Azwan Awang, kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada agenda FPL untuk menjalin hubungan bersama rakan strategik di sekitar rantau berhampiran dengan Sabah.

“Ini juga selari dengan visi FPL iaitu menjadi sebuah pusat pengajian ilmu pertanian terkemuka di rantau ini yang menekankan kepada prinsip kelestarian, kepekaan, dan teknologi tinggi,” katanya.

Azwan turut memaklumkan, seramai 11 pelajar terlibat dalam Program Mobiliti UMS-Unismuh yang diiringi oleh dua orang pensyarah FPL iaitu, Prof. Madya Dr. Nurul Huda dan Dr. Siti Suliza Salamat.

“Selain acara menandatangani LoI dan mobilti pelajar, kedua – dua fakulti turut bersama menjayakan seminar bertajuk ‘Enhancing Sustainable Agriculturure for Food Security Challenges’.

“Program ini juga telah melibatkan aktiviti khidmat masyarakat kepada komuniti sebuah kampung di Makassar berkaitan penyediaan kompos dan pengurusan perosak tanaman cendawan tiram,” tambah beliau.

Program lawatan selama tiga hari itu turut disertai oleh Timbalan Dekan Pengurusan Ladang Hubungan Industri FPL, Prof. Madya Dr. Jupikely James Silip; Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FPL, Dr. Mohd. Rakib Mohd. Rashid; dan Pensyarah Kanan FPL, Dr. Ilmas Abdurofi selaku penyelaras program.

Rombongan FPL UMS turut mengadakan lawatan kerja ke Fakulti Pertanian Universitas Borneo Tarakan (UBT) di Tarakan, Kalimantan, Indonesia. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *