Lori trailer bawa muatan tersangkut di jejantas Segama

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Sebuah lori trailer membawa muatan ‘blower’ telah tersangkut di jejantas pejalan kaki Segama dalam satu kejadian di Jalan Tun Razak di sini, petang Ahad (4 Jun).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris berkata, dalam kejadian jam lebih kurang 4.11 petang semalam, pihak polis menerima makluman satu kemalangan jalan raya berlaku di Jalan Tun Razak berdekatan jejantas Segama (menghala ke Likas) melibatkan dua buah kenderaan.

Lori trailer yang membawa muatan ‘blower’ tersangkut di jejantas pejalan kaki Segama lalu terjatuh atas jalan raya petang semalam.

Katanya, sebaik menerima panggilan anggota trafik segera ke lokasi kemalangan bagi mengawal keadaan lalulintas.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu memandu kenderaan lori trailer membawa muatan ‘blower’ dari arah Centre Point menuju ke Likas melalui Jalan Tun Razak.

“Apabila sampai di lokasi kejadian berdekatan jejantas Segama, muatan (blower) di atas lori yang dipandu telah tersangkut di jejantas pejalan kaki lalu terjatuh di atas jalan raya dan terkena sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang ketika itu sedang menurunkan penumpang di perhentian bas sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Kalsom, kesemua kenderaan terlibat kemalangan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Kenderaan Proton Saga mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan tepi sebelah kanan kenderaan.

“Manakala lori trailer tidak mengalami apa-apa kerosakkan selain daripada muatannya yang telah terjatuh di atas jalan raya,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *