HomeIsu tempatanSetiausaha Perhubungan TYT Sabah dianugerahkan PJN

Setiausaha Perhubungan TYT Sabah dianugerahkan PJN

Read Time:2 Minute, 45 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu :   Setiausaha Perhubungan Kepada Tuan Yang Terutama Sabah, Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir antara 28 individu dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) membawa gelaran ‘Datuk’.

Penganugerahan darjah tersebut berlangsung dalam Istiadat Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in, pada Isnin.

Mohd Rashid, 55, berasal dari Papar telah berkhidmat lebih kurang 30 tahun dalam perkhidmatan awam dan merupakan antara 65 individu yang menerima darjah, bintang serta pingat masing-masing mengikut beberapa kategori seperti  perkhidmatan awam, pihak berkuasa tempatan/ badan berkanun, swasta, persatuan, sukarelawan, sukan, perkhidmatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balairung Seri Istana Negara.

Setiausaha Perhubungan Kepada Tuan Yang Terutama Sabah, Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir dikurniakan pingat PJN

Terdahulu, 26 individu menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) membawa gelaran ‘Tan Sri’ antaranya, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Anifah Aman, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohamad Ab Rahman dan Komposer terkenal, Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab.

Sementara itu, empat individu dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Diraja (PSD) juga membawa gelaran ‘Datuk’ antaranya, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman, Ketua Protokol Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri, Amb. Mohd Aini Atan, Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Jabatan Perdana Menteri, Abdul Halim Hamzah dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Lt. Jen. Datuk Arman Rumaizi Ahmad.   

Hadir pada istiadat tersebut ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jemaah menteri kabinet serta isteri masing-masing.

Dengan jumlah keseluruhan 839 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena hari ulang tahun keputeraan Al-Sultan Abdullah pada tahun ini, seramai 33 individu disenaraikan sebagai penerima darjah kebesaran Johan Mangku Negara (JMN) manakala 33 lagi menerima Johan Setia Mahkota (JSM).

Selain itu, tiga individu terdiri daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, SAC Habibi Majinji dan Timbalan Pengarah (Perisikan Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Aman, SAC Mohd Azlin Sadari serta Asistan Ketua Staf Tadbir, Pangkalan Udara Subang tersenarai sebagai penerima darjah kebesaran Johan Setia Diraja (JSD) masing-masing bagi perkhidmatan PDRM dan perkhidmatan ATM.

Turut tersenarai, 116 individu penerima bintang kebesaran Kesatria Mangku Negara (KMN) termasuk Ketua Jabatan Bahagian Logistik dan Teknologi IPK Sabah, ACP Mohd Azmi Omar, di samping enam individu menerima Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) dan 218 lagi sebagai penerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN).

Sementara, 316 individu lagi sebagai penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) termasuk Ketua Pembantu Tadbir, Jabatan Pendidikan Sabah Asmiah Mohd Yussof, Pegawai Waran Istiadat KD Sandakan PW I PAP (G) Mohammad Isa Sulai, Penyelia Kejuruteraan Elektrik dan Senjata KD KERIS Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, PW I TLR Norhafisam Ahmad dan Sarjan Mejar Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK Sabah, SM Ahmad Md Toha, diikuti 56 individu lagi disenaraikan sebagai penerima Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya