HomeIsu tempatanCubaan seludup 40 kotak berisi ayam sabung berjaya dipatahkan

Cubaan seludup 40 kotak berisi ayam sabung berjaya dipatahkan

Read Time:1 Minute, 45 Second

Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 40 kotak besar berisi ayam sabung di perairan Kampung Kuala Bibang Semporna sekitar jam 2.40 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Semporna Komander Maritim Amir Shubli berkata, semua barangan dianggarkan bernilai sekitar RM40,000.

Katanya, sebaik tiba dilokasi, anggota bot peronda berjaya mengesan dua buah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke perkampungan atas air Kampung Kuala Bibang, Semporna.

“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, tekong bot telah bertindak nekad melarikan diri dengan terjun ke laut dan berenang ke arah perkampungan atas air berdekatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati ayam-ayam sabung berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran gelap pemain sabung ayam di negeri ini.

“Berikutan penemuan itu, Zon Maritim Semporna akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan serta menjejak suspek itu yang dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti penyeludupan di Semporna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amir berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot berserta enjin dianggarkan bernilai RM 54,000.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 di bawah seksyen 135 (1) (a) atas kesalahan terlibat dalam mengimport atau mengeksport apa-apa barangan tidak berkastam atau apa-apa barangan berlawanan dengan sesuatu larangan sama ada barangan tak berkastam atau barang larangan itu dikapalkan untuk diturunkan dari kapal dihantar serah.

“Individu yang didapati bersalah kali pertama boleh dikenakan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barangan itu atau RM 50,000 atau yang mana satu amaun yang lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM 500,000 atau yang mana satu amaun yang lebih tinggi atau dipenjarakan selama lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Amir berkata, Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan hot spots terutamanya sekitar sempadan perairan negara untuk membanteras penyeludupan dan kemasukan PATI ke negeri Sabah melalui jalan laut.

Tambahnya, Maritim Malaysia turut menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pesta Kaamatan landasan terbaik kukuhkan ikatan perpaduan merentasi agama, bangsa dan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular