HomeEkonomiLebih 5,000 pengunjung dijangka memeriahkan HKN 2023

Lebih 5,000 pengunjung dijangka memeriahkan HKN 2023

Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu : Lebih 5,000 pengunjung dijangka akan memeriahkan sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2023 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Pelbagai aktiviti dan program telah disusun atur sepanjang penganjuran HKN 2023 antaranya seperti pameran koperasi dan usahawan; pameran kerjaya; padan niaga; pertandingan e-Sport; demonstrasi produk; forum perdana; persembahan artis dan pelbagai aktiviti lain.

Pengarah Unit Hal Ehwal Antarabangsa dan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rozdeen Mohd Jaafar berkata, perasmian HKN 2023 akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Sabtu ini.

Katanya, sepanjang sambutan itu juga, sebanyak 200 reruai disediakan untuk pameran koperasi dan usahawan, pameran kerjaya serta jualan madani koperasi dan usahawan (JMKU) sepanjang program ini berlangsung.

“Pada tahun ini Sabah dipilih sebagai tuan rumah penganjuran HKN 2023 dan akan turut memberi pengiktirafan kepada tiga buah koperasi iaitu penyampaian Anugerah Koperasi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Terbaik (Siswa); Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik dan Anugerah Koperasi Masjid Terbaik.

“Selain HKN 2023, Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi (MAGK) 2023 turut diadakan pada malam ini yang akan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dimana sebanyak dua anugerah turut disampaikan iaitu Anugerah Tokoh Koperasi Negara 2023 dan Anugerah Koperasi Premier 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat bersama pengamal media Sabah sempena HKN 2023 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datin Suriani Abdul Rahman.

Rozdeen berkata, Anugerah Koperasi Terbaik Mengikut Sektor Ekonomi kepada koperasi-koperasi yang terpilih akan disampaikan dalam acara kemuncak Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 (BKK’23) yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 30 Julai ini.

Sambutan BKK ini merupakan manifestasi apresiasi dan pengiktirafan Kerajaan kepada gerakan koperasi negara yang telah banyak menyumbang dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat Madani di negara ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi terhadap peniaga Pakistan naikkan harga barang jualan – James

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular