HomeIsu tempatanPUNS laksana Program ‘Rural Outreach Education Enrichment’ di 3 lokaliti di Kota...

PUNS laksana Program ‘Rural Outreach Education Enrichment’ di 3 lokaliti di Kota Marudu

Read Time:2 Minute, 19 Second

KOTA MARUDU:Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS) telah melaksanakan Program ‘Rural Outreach Education Enrichment’ di tiga lokaliti iaitu Kampung Sonsogon Magandai, Kampung Sonsogon Tikalod dan Kampung Sonsogon Paliu, yang terletak di kawasan pedalaman daerah Kota Marudu.

Sonsogon adalah kawasan luar bandar yang kurang membangun yang hanya boleh dilalui dengan pacuan empat roda melalui jalan raya.

Ia mengambil masa dalam empat hingga enam jam perjalanan dari bandar Kota Marudu namun bergantung kepada keadaan cuaca dan jalan. Bagaimanapun, perkampungan ini masih tidak mempunyai bekalan elektrik dan rangkaian komunikasi.

Presiden PUNS Ellyanti P Nelson berkata, program ini mengetengahkan tiga aktiviti utama iaitu mewujudkan perpustakaan mini yang bersifat santai dan mesra penduduk yang juga adalah langkah pertama dalam usaha untuk menggalakkan minat membaca di kalangan kanak-kanak seawal umur tiga tahun termasuk seluruh komuniti kampung yang terlibat.

“Selain itu, program membuat manik sebagai aktiviti pemerkasaan budaya bagi menggalakkan seni dan kreativiti wanita Dusun Sonsogon.

“Dan program dokumentasi budaya dengan mendokumenkan pakaian tradisi wanita Dusun Sonsogon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Disamping itu, Ellyanti berkata, PUNS dengan kerjasama beberapa pihak telah mewujudkan tiga pusat perpustakaan mini yang pertama di tiga lokaliti ini yang dilaksanakan bersifat santai dan mesra penduduk yang juga adalah langkah pertama PUNS dalam usaha memperkasakan pendidikan dan menggalakkan minat membaca di kalangan kanak-kanak seawal umur tiga tahun termasuk seluruh komuniti di kawasan yang terlibat khususnya mempunyai capaian yang terhad.

“Seramai lebih kurang 40 orang sukarelawan yang terdiri daripada ahli Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS), PG 4×4 Kota Marudu diketuali oleh Johnny Mausai, pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan krew RTM menyertai program tersebut,” katanya.

Dalam program tersebut, katanya, PUNS juga sempat mengadakan lawatan ke dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Samparita dan SK Magandai Kota Marudu untuk beramah mesra dengan pelajar di sekolah tersebut selain menyampaikan dua unit komputer riba (laptop) kepada dua pelajar cemerlang dari SK Magandai serta alat tulis seperti krayon dan buku mewarna kepada murid-murid di sekolah tersebut.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung sepanjang usaha untuk menjayakan program itu.

“Perpustakaan mini ini akan ditambah baik dari masa ke semasa sehingga ianya menjadi ruangan yang kondusif untuk semua tahap umur sekaligus menjadi ruangan yang diminati oleh kanak-kanak dan komuniti untuk meluaskan ufuk pengetahuan.

“Penambahbaikan di masa hadapan juga akan melibatkan latihan kepada golongan belia sedia ada di kampung tersebut agar dapat memaksimakan peranan belia seperti mengajar huruf, nombor dan asas membaca dan mengira di kalangan kanak-kanak seawal umur tiga tahun sebelum meneruskan pendidikan mereka di sekolah rendah.

“Persatuan Unduk Ngadau Sabah percaya bahawa usaha ini akan dapat diteruskan dan ditambah baik dari masa ke semasa dengan sokongan positif daripada semua ahli persatuan dan masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di Sabah,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS tuan rumah Bengkel Strategik Majlis Universiti Awam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya