HomeSukanPiala AFC : Sabah FC sudah bersedia lebih awal, mahu penyokong terus...

Piala AFC : Sabah FC sudah bersedia lebih awal, mahu penyokong terus beri sokongan

Read Time:2 Minute, 9 Second

Kota Kinabalu : Sabah FC sudah bersedia lebih awal untuk menghadapi saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dijadualkan akan bermula bulan depan.

Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, pihaknya berharap penyokong setia skuad Sang Badak akan terus memberi sokongan sepanjang kempen Piala AFC itu nanti.

“Kita telah mendapat jadual lebih awal dan kita tahu selepas pusingan kedua Liga Super, kita akan melalui banyak perlawanan.

“Jadi persediaan telah kita lakukan dan barisan pemain yang kita ada pun mencukupi untuk kita lalui sama ada diperinglat Liga Super, Piala Malaysia mahupun peringkat Piala AFC nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis undian Piala AFC di Rumah AFC, di sini semalam.

Kim Swee berkata, pencapaian Sabah FC itu merupakan satu pencapaian yang baik untuk rakyat Sabah yang wajar dibanggakan khususnya para penyokong yang setia.

“Saya rasa ini satu pencapaian yang baik untuk rakyat Sabah, penyokong yang setia dan mereka harus berbangga.

“Teruskan sokongan kerana bukan mudah untuk layak ke peringkat seperti ini dan ianya penting untuk membantu pemain beraksi dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, kejayaan dua kelab dari Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjulang Piala AFC pada 2015 dan Kuala Lumpur City FC (KL City) muncul naib juara pada musim lalu mahu dijadikan inspirasi, dan itu yang akan dilakukan Sabah FC musim ini.

Katanya, tiada apa yang mustahil buat pasukannya selepas melihat skuad Sang Badak diundi dalam Kumpulan H bersama-sama kelab Vietnam, Haiphong FC, wakil Singapura Hougang United dan juara Liga 1 Indonesia, PSM Makassar.

Menurutnya, JDT dan KL City sudah membuktikan bahawa kelab dari Malaysia juga mampu melangkah hingga ke final Piala AFC, justeru semangat dan motivasi sama mahu disuntik kepada barisan pemainnya apabila memulakan kempen itu pada 21 September ini dengan menentang Hougang United di Stadium Likas.

“Kami ingin jadikan JDT sebagai sumber inspirasi untuk muncul juara dan saya ingin jadikan KL City sebagai kepercayaan untuk para pemain, di mana KL City boleh layak ke perlawanan akhir dan inspirasi seperti JDT untuk muncul juara.

“Kami tidak meletakkan sasaran untuk ini tetapi kami mempunyai objektif dan untuk layak ke peringkat seterusnya. Ia akan memberikan impak yang berbeza buat pasukan Sabah untuk mengharungi baki perlawanan Liga Malaysia (Liga M) selepas ini,” katanya.

Untuk rekod, JDT muncul pasukan pertama dari Malaysia dan Asia Tenggara yang menjuarai Piala AFC pada 2015 selepas menundukkan FC Istiklol dari Tajikistan dengan 1-0 di Dushanbe, Tajikistan.

Rekod sama hampir disamai KL City musim lalu, namun terpaksa akur apabila tumbang 0-3 kepada kelab Oman, Al Seeb yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Pasukan Bola Sepak Veteren Lahad Datu juarai kejohanan Piala MP Ranau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular