HomeSukanSabah terima Geran Padanan Sukan sebanyak RM774,000

Sabah terima Geran Padanan Sukan sebanyak RM774,000

Read Time:1 Minute, 54 Second

Kota Kinabalu : Sabah mempunyai potensi besar dan terkenal sebagai sebuah destinasi sukan menarik khususnya yang melibatkan sukan air termasuk dapat membantu meningkatkan industri pelancongan negara.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, sebagai dorongan kepada pertumbuhan industri sukan di negeri ini, kementeriannya telah meluluskan dana yang besar menerusi Geran Padanan Sukan kepada syarikat dan pertubuhan sukan di Sabah.

“Sebagai dorongan pertumbuhan industri sukan sabah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah meluluskan sebanyak RM774,000 daripada permohonan Geran Padanan Sukan kepada syarikat dan pertubuhan sukan di Sabah.

Hannah Yeoh

“Manakala untuk Dana Sukan Komuniti, KBS telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sabah yang mana permohonannya telah ditutup pada 31 Ogos 2023. Saya terima dalam 200 permohonan daripada Sabah dan sebanyak RM256,000 telah diluluskan,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Industri Sukan Sabah (EISS) 2023 di sini hari ini. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.

Hannah berkata, menerusi Geran Padanan Sukan yang disalurkan itu diyakini akan dapat membawa hasil yang lebih tinggi untuk negara.

“Kita mahu bangunkan sektor industri sukan bukan sahaja untuk mengejar pingat kerana industri sukan banyak potensi dan mereka sumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

“Saya akan memastikan kerjasama berterusan antara KBS dengan KBS Sabah dalam pelbagai isu berkaitan pembangunan belia dan sukan. Oleh itu, kita akan adakan juga mesyuarat Jawatankuasa Bersama KBS/Sabah/Sarawak (KEMSAS) bersama Sabah pada 7 September 2023 ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah mengakui banyak persatuan sukan termasuk di peringkat negeri dan nasional, selain di peringkat sekolah berdepan masalah dana untuk membiayai kejohanan sukan yang disertai.

Katanya, kebanyakannya bergantung kepada penajaan daripada pelbagai pihak, disebabkan perbelanjaan untuk industri sukan yang agak kurang.

“Memang belanja untuk industri sukan mungkkn kurang kerana semua bergantung kepada penajaan. Sebab itu kita amat menghargai penajaan sukan.

“Kalau ada duit, beri tajaan kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) untuk perbelanjaan dalam sukan. Saya percaya ini juga mendapat perhatian Menteri Pendidikan dalam memperkasakan lagi penganjuran Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM),” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai isu wakil dari Sabah yang berdepan masalah dana untuk ke kejohanan MSSM, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau meminta agar lebih banyak syarikat atau mana-mana pihak tampil menyumbang penajaan sukan sebagai sokongan terhadap usaha membangunkan industri sukan di negara ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Kejohanan sukan bantu lonjakkan pencapaian murid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular