HomeUtamaMotac gesa NGO, persatuan setempat kerjasama promosi budaya negara

Motac gesa NGO, persatuan setempat kerjasama promosi budaya negara

Read Time:1 Minute, 29 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR, Pihak ketiga seperti badan bukan kerajaan (NGO), persatuan setempat dan swasta digesa untuk bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam usaha mempromosikan kepelbagaian kebudayaan dalam negara.

Timbalan menteri berkenaan, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata usaha itu penting kerana pihak ketiga mempunyai kepakaran dan pemahaman tepat mengenai sesuatu program berunsurkan kebudayaan sekali gus membolehkan penyampaian mesejnya kepada orang awam termasuk pelancong luar lebih mudah dan berkesan.

“Kementerian memberikan ruang seluas-luasnya kepada mana-mana persatuan, NGO dan swasta untuk mengadakan program kebudayaan yang bukan sahaja memberikan kesedaran kepada rakyat setempat, tapi juga kepada pelancong luar mengenai keunikan dan perbezaan budaya kita.

“Apabila perkara ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, barulah industri kita dapat dirancakkan dengan cara yang kita mahukan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian perayaan Pesta Tanglung di Jalan Petaling, malam tadi.

Pesta Tanglung atau dikenali sebagai perayaan Kuih Bulan itu dianjurkan bersama Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dengan penglibatan komuniti setempat.

Turut diraikan pada majlis itu ibu tunggal dan anak yatim daripada pelbagai kaum.

Ia merupakan perayaan terpenting bagi masyarakat Cina selain Tahun Baharu Cina, yang membawa makna ‘perjumpaan semula’. Ia disambut pada hari ke-15 bulan kelapan kalendar masyarakat Cina dan untuk 2023 ini, ia jatuh pada 29 Sept.

Dalam perkembangan lain, Khairul Firdaus berkata kementerian itu tidak bercadang untuk memperkenalkan sebarang bentuk percukaian baharu kepada pelancong luar yang melawat tempat kebudayaan dalam negara.

“Yang ada berkaitan cukai pelancongan sekarang ialah bilik-bilik hotel, itu sahaja, tiada perancangan untuk mewujudkan percukaian baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan pihak berwajib Indonesia yang mahu mengenakan  cukai ke atas pelancong yang memasuki lokasi peranginan negara itu, Bali bermula tahun depan bagi mengekalkan budayanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Jemaah haji diharap jadi duta promosi TH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular