HomeIsu tempatanLebih 22 juta anak penyu berjaya dilepaskan dalam tempoh 46 tahun

Lebih 22 juta anak penyu berjaya dilepaskan dalam tempoh 46 tahun

Read Time:1 Minute, 56 Second

Sandakan : Taman Pulau-Pulau Penyu yang menjadi pusat pemuliharaan penyu terbaik di Asia Tenggara berjaya melepaskan lebih 22 juta anak penyu dalam tempoh 46 tahun.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Maklarin Lakim berkata, sehingga September lalu, Taman Pulau-Pulau Penyu mencatatkan pola data pendaratan penyu yang selari seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Ia adalah berjumlah 10,527 ekor penyu yang terdiri daripada 98.2 peratus penyu hijau dan selebihnya 1.8 peratus adalah penyu sisik manakala anak penyu yang dilepaskan adalah sebanyak 616,774 ekor di mana 97.5 peratus daripadanya adalah penyu hijau dan hanya 2.5 peratus adalah penyu sisik.

“Tahun ini menjadi satu lagi tahun yang cemerlang oleh Bahagian Pengurusan, Operasi dan Penyelidikan Taman Pulau-Pulau Penyu dalam memulihara penyu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Pewartaan Taman Pulau-Pulau Penyu ke-46 di sini.

Maklarin berkata, sokongan pelbagai pihak khususnya pasukan keselamatan seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menjadi asas kepada kecemerlangan usaha perlindungan haiwan reptilia ini.

“Saya juga dimaklumkan atas persetujuan PGA BN 15 untuk menempatkan anggota PGA di Pulau Gulisan yang mana sejak tahun 2013 tiada kakitangan ditempatkan di Pulau Gulisan atas faktor keselamatan iaitu berkaitan kejadian pencerobohan di Tanduo,Lahad Datu dan ini menyebabkan data penyu yang diperolehi tidak lengkap untuk tempoh 10 tahun.

“Kecemerlangan perlindungan penyu di taman ini bukan sahaja disokong oleh pasukan PGA dan kakitangan TTS, namun kini, kita menerima semakin banyak sokongan dan dorongan daripada masyarakat dalam dan luar negara melalui Turtle Adoption Programme yang telah dilancarkan pada tahun 2016,” katanya.

Menurutnya, setakat 30 September lalu, pihaknya telah menerima sejumlah 360 pengangkat sarang penyu dan menghasilkan dapatan sebanyak RM 54,000.

Tambahnya, hasil dapatan itu akan terus digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan sangkar penyu, usaha-usaha perlindungan dan kajian-kajian penyelidikan saintifik agar populasi penyu bertambah baik.

“Inilah yang termaktub dalam visi TTS, rakyat Sabah hidup harmoni dengan alam semula jadi. Sedar tidak sedar, kita daripada pelbagai lapisan masyarakat, tidak kira pangkat mahupun darjat, bersatu berjuang untuk melindungi penyu-penyu kita agar kekal untuk 1,000 tahun akan datang.

“Tidak mustahil, jika kita terus berpegang dengan wawasan ini, keharmonian ini akan berpanjangan sehinggalah ke anak-cucu kita agar mereka juga berpeluang untuk melihat haiwan penuh ajaib ini dengan mata sendiri,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH PARK

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Tiga gerai jual makanan rosak dihempap pokok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya