Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus melangkah ke hadapan dengan meraikan inovasi digital selama lima hari pada sambutan Bulan Digital 2023, di sini, hari ini.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, UMS sedang bergerak menuju arah masa depan yang semakin digital dan inovatif.
“Pelajar dan staf adalah warga digital, justeru amat penting untuk memahami dan menguasai peralatan serta pengetahuan yang diperlukan dalam era digital.
“Bulan Digital ini menawarkan kesempatan luar biasa untuk belajar, berkomunikasi, dan merasai kemajuan digital,” katanya.
Kasim berkata, sepanjang Bulan Digital 2023 pada kali ini pihak urus setia telah merancang pelbagai aktiviti yang merangkumi pelbagai aspek teknologi digital, termasuk penggunaan platform digital, pemarkahan digital, pembelajaran digital, dan lain-lain lagi.
“Kita juga disajikan dengan pameran ICT dan pameran buku oleh pempamer daripada dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Bulan Digital UMS 2023. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Digital Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi UMS, Profesor Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim.
Tambah Kasim, bagi menyemai kesedaran ICT dan digital, UMS turut mengadakan taklimat berkaitan transformasi digital di UMS serta taklimat inovasi STEM.
“Dalam era globalisasi dan digitalisasi ini, selain bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, UMS juga harus memastikan teknologi ini digunakan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
“Sebagai sebuah universiti, kita mempunyai tanggungjawab dan peluang untuk membentuk masa depan yang lebih baik bagi para pelajar dan generasi akan datang. Saya percaya Bulan Digital ini adalah langkah ke arah membentuk dan memperkasakan generasi muda untuk merangkul masa depan.
“Teknologi mempunyai banyak manfaat, tetapi juga mempunyai risikonya sendiri jika disalah guna. Oleh itu, gunakanlah teknologi dengan bijak,” katanya.
Pada majlis tersebut, UMS turut melancarkan UMS Metavarsity Project, pelancaran Sistem Arkib UMS, dan peluncuran logo Perpustakaan.
Turut hadir, Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Salleh dan Ketua U-Science UMS, Zawawi Tiyunin.