HomeIsu tempatanUPSI laksana program pemindahan ilmu dalam pendidikan alternatif di Sabah

UPSI laksana program pemindahan ilmu dalam pendidikan alternatif di Sabah

Read Time:2 Minute, 29 Second

SEPANGGAR: Kumpulan penyelidik daripada Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengambil inisiatif menjalankan aktiviti program pemindahan ilmu yang berfokus kepada Perantis Tenaga Pengajar Sukarelawan dan Komuniti Sekolah Alternatif di Sabah.

Program yang berlangsung selama seminggu bermula pada 24 sehingga 30 Oktober 2023 ini dijalankan di Pusat Pengajian Pascasiswazah, UMS dan Sekolah Alternatif Teluk Layang, Sepanggar dengan kerjasama daripada Persatuan Produksi Teater dan Pengurusan Kesenian Sabah (STAGE Production), Persatuan Pelajar Pascasiswazah (PSA), UMS dan Eva Foster Enterprise.

Menurut kenyataan media UPSI hari ini, program pemindahan ilmu ini dijalankan secara berfasa, bermula daripada Fasa I dengan pelaksanaan webinar wacana ilmu tentang topik Dramatika Kreatif sebagai Didik Hibur, kemudian diikuti oleh fasa II dengan pelaksanaan Bengkel Didik Hibur bersama Perantis Sukarelawan dan Komuniti Sekolah Alternatif serta fasa III melibatkan program Simulasi Didik Hibur Bersama Murid-Murid Sekolah Alternatif Negeri Sabah.

Ketiga-tiga fasa pelaksanaan program ini saling berkaitan untuk mendapatkan gambaran besar tentang matlamat dan tujuan ilmu yang dipindahkan kepada khalayak komuniti sekolah alternatif di negeri ini.

Komuniti ini dipilih berdasarkan hasil dapatan tinjauan awal yang dilakukan terhadap sistem pendidikan alternatif yang berpusatkan kepada pendekatan pengajaran dan pembelajaran improvisasi dalam menangani kadar buta huruf pelajar-pelajar di sekolah ini.

Sebagai sebuah institusi terkemuka di Malaysia yang terkenal dengan komitmennya terhadap kecemerlangan pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut mengambil langkah penting dalam menangani keperluan pendidikan alternatif di negeri Sabah.

Dengan tumpuan pada penyediaan pendidikan berkualiti dalam pengajaran dan pembelajaran, UPSI telah mengiktiraf permintaan untuk pendekatan pendidikan alternatif di Sabah dan berazam untuk memenuhi keperluan ini selari dengan hasrat penubuhan sekolah ini ditubuhkan.

Para peserta program dipecahkan kepada dua kumpulan pelaksanaan yang berbeza di mana, dalam program Fasa II, modul pendekatan didik hibur diaplikasikan terus kepada tenaga pengajar sukarelawan yang terdiri daripada pelajar program Seni Kreatif, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (AsTiF), Ahli Persatuan Pelajar Pascasiswazah, UMS dan ahli daripada persatuan-persatuan kemanusiaan di sekitar Sepanggar melibatkan 50 orang penyertaan keseluruhannya. Seterusnya program diteruskan lagi pada Fasa III dengan melibatkan simulasi pengajaran dan pembelajaran terus kepada komuniti Sekolah Alternatif Teluk Layang yang melibatkan modul pendekatan didik hibur: 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) yang dijalankan ke atas 39 orang murid di sekolah tersebut.

Projek ini yang ahlinya terdiri daripada Amsalib Pisali selaku ketua penyelidik di bantu oleh Mohamad Naquiddin Tajul Ariffin, Dr. Nor Shuradi Nor Hashim dan Dr. Fara Dayana Muhd. Jufry mengambil langkah ini kerana melihat prospek ini sebagai satu usaha murni yang membuktikan ahli akademik dan universiti awam terutamanya UPSI mengambil berat akan permasalahan dasar dalam menjana perkembangan pendidikan bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, tetapi Sabah khususnya.

Projek ini mendapat peruntukan di bawah Geran Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Program-KTP) yang telah diharap dalam penyelidikan agar komuniti atau kelompok sasar menerima manfaat daripada hasil penyelidikan ini.

Harapan penyelidik bagi projek ini adalah dapat mendedahkan didik hibur sebagai salah satu pedagogi yang berkesan diguna pakai untuk segenap kelompok dan bersifat terbuka, menyeronokkan serta memberikan impak positif kepada murid-murid dan dunia pendidikan di Malaysia.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Kursus Pertanian Fertigasi perkenal sistem penanaman moden, tingkat pendapatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular