HomeIsu tempatanUMS, RHB Islamic Bank Berhad meterai kolaborasi pemuliharaan ekosistem marin dan kelestarian...

UMS, RHB Islamic Bank Berhad meterai kolaborasi pemuliharaan ekosistem marin dan kelestarian alam sekitar

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama RHB Islamic Bank Berhad bagi kolaborasi berkaitan aktiviti pemuliharaan ekosistem marin dan kelestarian alam sekitar.

Kolaborasi tersebut dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani MoU antara kedua-dua pihak yang berlangsung di The Magellan Sutera Harbour Resort baru-baru ini. 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor menandatangani MoU tersebut bagi pihak UMS, sambil disaksikan oleh Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia UMS, Sirahim Abdullah. 

Manakala RHB Islamic diwakili oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Adissadikin Ali, sambil disaksikan oleh Ketua Strategi dan Inovasi RHB Islamic Bank, Roshan Jaffar.

IPMB dalam satu kenyataan memaklumkan, menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak akan mengadakan kerjasama  dalam program dan aktiviti yang berkaitan dengan promosi kesedaran dan pemuliharaan ekosistem marin dan kelestarian alam sekitar melalui dua projek utama iaitu Projek Nutri-Sea dan Ocean Harmony.

“Projek Nutri-Sea adalah inisiatif IPMB UMS dalam penyelidikan akuakultur, keterjaminan makanan laut dan kelestarian alam sekitar, manakala Ocean Harmony merupakan sebahagian dari agenda “Pengantaraan Berasaskan Nilai” (Value-based Intermediation) oleh RHB Islamic di bawah ekosistem yang dinamakan RHB Harmoni.

“MoU ini tidak terhad kepada dua program utama tersebut, malah UMS dan RHB Bank Berhad juga berbesar hati untuk meneroka peluang dan berkolaborasi untuk kerjasama seterusnya yang mendukung usaha-usaha ke arah matlamat pembangunan lestari,” demikian menurut kenyataan tersebut. 

Dalam pada itu, Rosalam pada majlis tersebut berkata, UMS selaku antara universiti terbaik di Borneo komited untuk terus menawarkan informasi, penyelidik yang berkepakaran tinggi, kemudahan fasiliti yang lengkap dan pelajar-pelajar yang berdedikasi.

“Dengan usaha sama penyelidik UMS dan pakar dari RHB, kami menjangkakan hasil yang dapat memacu kemajuan teknologi, pengembangan ekonomi dan penyelesaian yang mampan kepada cabaran yang dihadapi oleh masyarakat hari ini terutamanya di Sabah,” jelas beliau.

Adissadikin dalam ucapannya turut menyokong usaha UMS tersebut, sambil menyangkal tanggapan bahawa pihak bank adalah institusi yang bersandarkan kepada keuntungan semata-mata.

“RHB Islamic amat peka terhadap perkembangan dari segi kelestarian dan telah mengadaptasikan Sustainable Financing Framework (Rangka Kerja Perbankan Mampan) dalam operasi kami.  

“Justeru, sebagai institusi perbankan yang bertanggungjawab kami juga memberikan keutamaan dalam mewujudkan kesan positif kepada masyarakat dan alam sekitar semasa menjalankan perniagaan perbankan,” ujar beliau. 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

October BIG Day usaha pupuk minat aktiviti memerhati burung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular