HomeUtamaBandaraya Kota Kinabalu lebih besar jika KKIA dipindahkan

Bandaraya Kota Kinabalu lebih besar jika KKIA dipindahkan

Read Time:2 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu : Saiz bandaraya Kota Kinabalu akan menjadi lebih besar sekiranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dipindahkan ke lokasi yang baharu.

Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ini kerana pusat bandar Kota Kinabalu dilihat berada di kawasan sempit yang berhampiran dengan laut dan ‘Signal Hill’ terutama di lokasi perniagaan.

Katanya, faktor itu juga menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk dan usaha bagi mewujudkan Transit Aliran Ringan (LRT) juga agak sukar.

“Dulu kalau kita mahu menambah keluasan bandar Kota Kinabalu, apa yang kita buat ialah kita tambak laut, tetapi sekrang ini kos tinggi dan impak kepada alam sekitar agak negatif, jadi ianya bukan pilihan yang baik.

“Jadi pada saya kalau kita tengok pusat bandar Kota Kinabalu dengan memindahkan KKIA ke tempat lain, maka secara automatik kita ada satu kawasan seluas 900 ekar iaitu keluasan KKIA sekarang.  Ini boleh ditukar sebagai pusat bandar yang baharu.

“Jika ini berlaku, Kota Kinabalu akan menjadi dua kali lebih besar dari apa yang ada sekarang, jika dibuat kiraan keluasan pusat bandar Kota Kinabalu dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) sehingga ke lokasi sekarang ada lebih kurang 1,200 ekar,” katanya.

Katanya, keluasan itu juga akan membolehkan bandaraya Kota Kinabalu lebih besar dan cantik kerana ianya berdekatan dengan laut.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, selain saiz bandaraya mampu dibesarkan, beliau turut menggariskan beberapa perkara lain bagi keperluan mewujudkan lapangan terbang baharu di negeri ini.

Antaranya ialah saiz dan kapasiti KKIA yang ada sekarang sudah berapa pada tahap maksimum selain membolehkan ketinggian bangunan di Kota Kinabalu dapat dibangunkan dengan lebih tinggi.

“Bila kita pindahkan lapangan terbang ini ke tempat lain, kita dapati syarat ketinggian bangunan di Kota Kinabalu dapat ditinggikan.  Jika dulu ianya tidak boleh melepasi ketinggian tertentu kerana Kota Kinabalu adalah laluan pendaratan dan juga pelepasan kapal terbang dari KKIA.

“Jadi bila KKIA ini dipindahkan, maka bangunan di Kota Kinabalu dapat dibangunkan dengan tinggi, jadi kos akan lebih efektif,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, tanah bagi kawasan KKIA kini boleh dijual kepada pemaju yang mahu memajukan kawasan berkenaan bagi membolehkan hasil jualan berkenaan dapat digunakan untuk membuat lapangan terbang baharu.

Katanya, Kerajaan akan dapat memperoleh harga yang lebih tinggi dan lumayan apabila tanah di kawasan KKIA kini boleh mencecah hampir RM1 bilion.

“Jika kita jual tanah berkenaan kepada pemaju, duit yang ada boleh kita gunakan untuk membina lapangan terbang baharu di tempat lain.  Kerajaan juga tidak perlu mengeluarkan duit bantak untuk membina lapangan terbang Sabah yang baharu.  Jadi ini dapat menjimatkan kos,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman memberi pandangan agar lokasi pembinaan lapangan terbang baharu boleh dilaksanakan di kawasan utara Kota Kinabalu termasuklah di Tuaran; Kota Belud; Kota Marudu dan daerah berhampiran.

“Saya mempunyai pandangan, sepatutnya lapangan terbang ini dibuat di utara Kota Kinabalu.  Sama ada Tuaran; Kota Belud; Kota Marudu kerana daerah ini diumumkan sebagai antara daerah termiskin di Malaysia.

“Jadi kalau kita bawa lapangan terbang ini ke utara, maka banyak kilang-kilang akan wujud disekeliling dan akan dapat memberi limpahan peluang pekerjaan yang banyak. Akses laluan daripada Kota Kinabalu juga akan lebih mudah apabila siapnya lebuh raya Pan Borneo,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji terima kunjungan hormat delegasi US-ASEAN Business Council

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular