HomeUtamaKecurian air, setinggan haram, pengubahan paip air utama antara punca gangguan bekalan...

Kecurian air, setinggan haram, pengubahan paip air utama antara punca gangguan bekalan air UMS

Read Time:2 Minute, 16 Second

Kota Kinabalu : Pembinaan rumah setinggan yang semakin kritikal khususnya di kawasan Sepanggar  menjadi antara punca berlakunya kecurian air dan sekaligus menyebabkan gangguan bekalan air yang teruk termasuk di kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, dianggarkan sebanyak 18 juta liter air dicuri setiap hari menerusi hampir 12,000 buah rumah setinggan yang didirikan di kawasan berkenaan.

Katanya, hampir 20,000 orang akan berada di dalam kampus UMS setiap hari namun bekalan yang disalurkan JANS tidak mencukupi.

“UMS dimaklumkan oleh kerajaan bahawa ada beberapa isu yang menyumbang kepada masalah bekalan air ini. Selain rumah setinggan, pertumbuhan pesat taman taman perumahan antara Kota Kinabalu dan Tuaran juga menjadi antara punca gangguan bekalan air.

“Selain itu, pengoperasian kilang-kilang besar meningkat khususnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) selain pengubahan paip air utama sepanjang jalan pan borneo antara Kota Kinabalu dan Tuaran yang menyebabkan gangguan air yang teruk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata,  meskipun UMS tidak bertanggungjawab terhadap bekalan air terawat namun sejak 2021, universiti itu telah membelanjakan jutaan ringgit untuk mengurangkan gangguan air.

Katanya, ini termasuklah membeli air, memperbaiki tangki dan pam selain pengambilan air bawah tanah. 

“Akan tetapi, kemampuan UMS menyelesaikan isu air adalah terhad. Isu ini tidak akan selesai sepenuhnya selagi Jabatan Air Negeri Sabah tidak dapat menyalurkan air secukupnya ke UMS,” katanya.

Berhubung peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM 3 juta, Abdul Rahman berkata, ia adalah tertakluk kepada kaedah perolehan kerajaan. 

Katanya, peruntukan itu disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU Sabah) dan bukan dengan UMS.

“Projek tubewell telah bermula dan hanya akan siap bulan Mac. Itupun tidak akan mampu menyelesaikan masalah bekalan air. Ia hanya mampu mengurangkan gangguan bekalan air. 

“Kerajaan negeri berjanji untuk menyelesaikan isu bekalan air ini secara pukal namun memerlukan masa,” katanya.

Dalam pada itu semalam, Timbalan Ketua Meneri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata,  isu bekalan air yang dialami warga UMS dijangka akan selesai apabila kerja paip utama bagi menyalurkan air tambahan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 di Tuaran siap sebelum akhir bulan ini.

Katanya yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pihaknya telah mengarahkan kontraktor untuk segera menyiapkan kerja berkenaan dan ianya dijangka dapat meredakan isu kekurangan bekalan air di UMS dan sekitarnya.

“Isu ini (kekurangan bekalan air) sepatutnya sudah selesai dengan penyiapan projek LRA T2P2 yang dimula operasi sejak awal Disember lalu.  Bagaimanapun, ada beberapa kerja paip utama perlu diselesaikan bagi membolehkan air terawat tambahan dari LRA T2P2 disalur ke rangkaian paip pengagihan.

“Semua usaha sedang dilaksanakan bagi memastikan kerja paip utama itu selesai sebelum akhir Januari, sekali gus meredakan isu air yang sedang dihadapi ketika ini,” katanya – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KKM sasar sifar kes kusta menjelang 2030

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular