HomeUtamaJBG wujudkan klinik bantuan guaman bergerak di Sabah

JBG wujudkan klinik bantuan guaman bergerak di Sabah

Read Time:2 Minute, 48 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Bantuan Guaman (JBG) mewujudkan klinik bantuan guaman bergerak dikenali sebagai pogram ‘Justice on Wheels’ yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya yang tinggal di luar bandar sekali gus memberikan lebih ramai rakyat Malaysia akses kepada keadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kerajaan Madani komited untuk membela nasib rakyat susah untuk mendapatkan akses kepada keadilan, dan pendirian ini jelas berdasarkan Belanjawan Madani 2024 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri ke-10 pada 13 Oktober 2023 yang lalu.

“Manakala had kelayakan bantuan guaman penuh yang disediakan oleh JBG berasaskan sumber kewangan tahunan, iaitu dari RM30,000 ke RM50,000 setahun, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2023,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program Justice on Wheels Jabatan Bantuan Guaman di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, di sini, hari ini.

Menurut Azalina, sebanyak 15 program Justice on Wheels akan dijadikan program ‘pilot’ bagi tahun 2024, di mana ia akan dilaksanakan di negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Di Sabah program Kem Guaman akan dilaksanakan di Pitas (Feb), Telupid (May), Paitan (Jun), Sukau (Sept) dan Tungku (Okt),” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan pada tahun 2023, kerajaan telah meluluskan peruntukan sejumlah RM1,000,000 bagi JBG yang telah dimanfaatkan untuk pembelian tiga buah van.

“Van-van ini akan digunakan sebagai klinik guaman bergerak yang telah diubah suai dengan kelengkapan yang sesuai bagi memberikan perkhidmatan nasihat guaman kepada rakyat yang berada di kawasan pedalaman, termasuk kawasan Felda di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata, usaha untuk menggiatkan lagi aktiviti promosi khidmat bantuan guaman akan diteruskan, terutamanya bagi mencapai rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar atau kawasan pendalaman bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh JBG.

“Saya difahamkan bahawa pelbagai pembaharuan telah diusahakan untuk mempromosikan khidmat bantuan guaman untuk menyebar luas pengetahuan dan meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung kemudahan yang telah disediakan oleh Kerajaan.

“Misalnya, di Sabah, didapati kes kelahiran yang tidak didaftarkan kian meningkat kerana masih terdapat segelintir masyarakat di pedalaman yang tidak mengetahui tentang peruntukan undang-undang berkenaan dengan pendaftaran kelahiran lewat.

“Menyedari hakikat ini, Badan Kehakiman Malaysia juga telah mewujudkan Program Mahkamah Bergerak di kawasan pedalaman dan kawasan terpencil di negeri Sabah untuk menyelesaikan isu ketiadaan dokumen kelahiran bagi masyarakat di kawasan tersebut, dengan lokasi pertamanya di Long Pasia Sabah.

“Sehingga kini, program ini telah meliputi sebanyak 41 lokasi bagi kawasan pekan dan bandar kecil manakala 63 lokasi lagi di kawasan pedalaman,” katanya.

Tambah Azalina, inisiatif ini turut melibatkan pengamal undang-undang serta pasukan perubatan yang menawarkan perkhidmatan undang-undang dan perkhidmatan kesihatan asas kepada masyarakat setempat.

“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga turut serta bagi memproses permohonan MyKad secara segera setelah pendaftaran sijil kelahiran disahkan oleh Mahkamah. Pada tahun 2023, program ini telah dapat menyelesaikan lebih 60 peratus kes pendaftaran lewat kelahiran,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merengkap Ahli Parlimen P174 Penampang, Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Kulasegaran a/l V. Murugeson, Ahli- Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia Senator Datuk John Ambrose dan Senator Datuk Noraini Idris, ADUN Kapayan Jannie Lasimbang, ADUN Moyog Datuk Ignatius Darell Leiking, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia
Zamri Bakar, Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Dato’ Norazmi Mohd Narawi serta Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, M Bakri Abd Majid.

RELATED ARTICLES
Utama

Mayat lelaki warga Sweden ditemui dalam kapal pelayaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular