HomeUtamaRM68.28 juta untuk projek mencegah banjir dan hakisan

RM68.28 juta untuk projek mencegah banjir dan hakisan

Read Time:2 Minute, 16 Second

Tuaran: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM68.28 juta tahun ini untuk melaksanakan projek menangani dan mencegah banjir, program penstabilan dan pencegahan hakisan tebing sungai dan pantai di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek pencegahan banjir dan hakisan itu akan dilaksanakan di pelbagai lokasi di seluruh negeri, terutamanya kawasan berisiko banjir.

Katanya, usaha itu adalah untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat pada tahap yang lebih selesa kerana kesejahteraan hidup rakyat menjadi keutamaan Kerajaan.

“Projek pertahanan tebing sungai yang akan dilaksanakan di kawasan Pekan Tuaran, merupakan antara usaha diambil oleh kerajaan untuk pencegahan hakisan tebing sungai, bagi memastikan fungsi sungai itu sebagai saliran dan takungan banjir dapat dikekalkan.

“Dalam masa sama, projek itu yang mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan, sudah pasti mampu menghalang fenomena hakisan tebing pada masa akan datang”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Kerja-Kerja Pertahanan Tebing Sungai Tuaran di tapak projek itu di Pekan Tuaran di sini hari ini.

Hajiji berkata, Projek Kerja-Kerja Pertahanan Tebing Sungai Tuaran unik kerana ia bukan hanya untuk mengukuhkan tebing sungai, malah turut mengambil kira keperluan untuk mengindahkan persekitaran Sungai Tuaran di pekan Tuaran.

Katanya, pengindahan tebing sungai akan memberi manfaat lain khususnya sebagai kawasan rekreasi awam untuk membolehkan aktiviti rekreasi seperti riadah/jogging, memancing, lokasi penganjuran aktiviti disamping dijadikan tempat baru kunjungan awam di pekan Tuaran.

“Justeru saya mahu Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah selaku agensi pelaksana projek ini agar dapat menguruskan projek ini dengan sebaiknya dan disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Saya juga berharap agensi-agensi yang berkenaan dapat menyepadukan usaha agar kecantikan kawasan ini dapat dijaga dan fasiliti-fasilti yang dibina akan diselenggara dengan sebaiknya, setelah siap kelak,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, sungai mempunyai banyak kegunaan dalam kehidupan seharian, selain sebagai sumber air utama bagi bekalan air minuman juga untuk kegunaan lain seperti pertanian dan industri.

Katanya, sungai juga merupakan habitat utama bagi flora dan fauna merangkumi pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan akuatik dan spesis ikan serta haiwan akuatik yang lain.

Menurutnya, di beberapa tempat di Sabah, sungai masih lagi digunakan sebagai jalan penghubung utama bagi masyarakat untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Beliau berkata, sungai tidak terkecuali terkesan daripada tekanan-tekanan luaran yang boleh memudaratkan bukan sahaja kuantiti dan kualiti airnya tetapi juga fungsi ekosistemnya.

“Di bahagian hilir sesebuah sungai terutamanya, kejadian pencemaran semakin bertambah akibat pelbagai faktor termasuklah tahap kekeruhan air disebabkan sedimen semakin meningkat selain sampah-sarap.

Justeru, projek yang kita lancarkan amat penting sebagai ‘showcase’ berkaitan kepentingan sungai kepada masyarakat dengan harapan agar objektif untuk meningkatkan kesedaran pentingnya mengekalkan fungsi sungai dapat diterapkan kepada semua lapisan masyarakat bukan sahaja di Tuaran tetapi juga ke tempat-tempat lain di seluruh Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JKM

RELATED ARTICLES
Utama

Mayat lelaki warga Sweden ditemui dalam kapal pelayaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular