KOTA BELUD: Pasukan Bomba berjaya menyelamatkan seorang mangsa lelaki yang mengalami kecederaan tertusuk panah di lengan kanannya dipercayai semasa mangsa menjalankan aktiviti menangkap ikan di Kota Belud.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBP) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak Unit Kecemasan Hospital Kota Belud mengenai kejadian itu pada jam 11.59 malam tadi (1 Feb).
Katanya, mangsa berusia 25 tahun itu cedera di lengan kanan kerana tertusuk panah besi semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan dan seterusnya dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kota Belud.
“Pasukan Bomba bertindak memotong panah tersebut dan seterusnya diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.33 tengah malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.