HomeIsu tempatanNashraf, Dayang Saliha wakili Putatan ke Tilawah Al-Quran peringkat negeri

Nashraf, Dayang Saliha wakili Putatan ke Tilawah Al-Quran peringkat negeri

Read Time:1 Minute, 18 Second

Putatan: Qari, Nashraf Ideen Nahar dan qariah, Dayang Saliha Saleh akan mewakili daerah Putatan ke majlis tilawah Al-Quran peringkat negeri, Mac depan.

Nashraf, 31, berjaya mengekalkan rekod tiga tahun berturut-turut apabila beliau dinobatkan sebagai Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Putatan, di sini baru-baru ini.

“Tidak mudah untuk kekalkan kemenangan sebab bacaan dan taranum peserta-peserta lain juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas,” katanya.

Nashraf berkata, selain latihan berterusan, dia juga mendapat tunjuk ajar daripada beberapa tenaga pengajar dari Kelantan dan Selangor untuk memperbaiki kelemahan dan menambah baik alunan taranum.

Antara pencapaian tertinggi beliau ialah meraih Johan Pertandingan Hafazan di Peringkat Antarabangsa di Jordan pada 2013.

Sementara itu, Dayang Saliha Saleh ,42, yang merupakan guru kelas Al Quran di sekitar Putatan menasihati  umat Islam yang berminat mempelajari ilmu Al Quran agar mencari guru yang bertauliah dan tidak cepat berasa bosan.

“Minat mempelajari ilmu bacaan Al-Quran dan terus istiqamah menjadi azimat saya agar terus memberikan bacaan terbaik semasa menyertai mana-mana pertandingan.

“Selain itu, penilaian melalui atas talian oleh guru-guru sebelum mengikuti pertandingan ini banyak membantu saya dalam menambah baik bacaan taranum dan tajwid,” katanya.

Bagi Ketua Juri Rozhan Yacob, secara keseluruhan para peserta menunjukkan prestasi memuaskan dan meningkat berbanding tahun lepas namun, terdapat beberapa kelemahan dan kesilapan kecil yang boleh diperbaiki dari masa ke semasa.

Majlis Penyampaian Hadiah Tilawah Hafazan Al Quran Peringkat Daerah Putatan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmy Yahya yang juga merangkap Ahli Parlimen Putatan di Dewan Sri Putatan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Charles, Jessie dan Ain juara Sugandoi Kaamatan Bandaraya KK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular