UMS meterai MoU bagi usaha lengkap pelajar dengan pengetahuan Fintech

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Tijarah Holding Ltd, satu institusi pembangun blok rantaian (blockchain) patuh syariah sebagai usaha melengkapkan para pelajar UMS dengan pengetahuan dalam bidang teknologi kewangan (fintech), khususnya berkaitan blockchain.

MoU tersebut dimeterai dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Canselori, UMS pagi tadi.

MoU ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor bagi pihak UMS, manakala Tijarah Holding Ltd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, John Joseph Pellegrini.

Terdahulu, Kasim dalam ucapannya sempena majlis tersebut berkata, Fintech dilihat semakin berkembang di Malaysia, yang didorong oleh peningkatan permintaan daripada penduduk majoriti Islam dan penduduk berkemahiran teknologi.

“Menurut laporan dari industri, landskap fintech negara terus menunjukkan pertumbuhan yang teguh, dengan terdapat lebih 300 syarikat fintech yang beroperasi di Malaysia, merangkumi pelbagai kategori termasuk e-dompet, pembayaran, pinjaman, wealthtech, insurtech, dan blockchain atau mata wang kripto (cryptocurrency).

“Penggunaan teknologi blockchain semakin berkembang dalam banyak industri, dan dipercayai bahawa institusi kewangan Islam juga boleh mendapat manfaat daripada teknologi ini kerana lebih berdaya saing dan selaras dengan objektif zakat,” katanya.

Menurut beliau, kajian yang memfokuskan kepada potensi teknologi blockchain dan keberkesanannya dalam memudahkan sistem pengurusan kewangan Islam negara semakin berkembang, namun kurang perbincangan mengenai penyesuaian teknologi tersebut dalam pengurusan kewangan Islam untuk menjadikannya berfungsi

“Kebanyakan penyelidikan tertumpu kepada negara seperti Indonesia, dan walaupun terdapat peningkatan penyelidikan di Malaysia, penyelidikan mendalam masih kurang.

“ Isu kewangan Islam di Malaysia lebih tertumpu kepada isu berkaitan ketiadaan data di laman sesawang setiap negeri dan platform media sosial yang kurang menarik dan kurang berkesan dalam aspek komunikasi.

“Ini menunjukkan bahawa Malaysia kini memerlukan sistem pengurusan kewangan Islam yang lebih baik untuk kemudahan pengguna,” katanya.

Kasim turut melihat terdapat keperluan pembangunan modal insan bagi menyokong perkembangan fintech.

“Justeru itu, UMS mengambil inisiatif menyokong usaha ini melalui pemeteraian MoU bagi menyumbang kepada pembangunan sumber manusia selaras dengan peranan penting universiti sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi di Sabah.

“Kolaborasi dengan pemain industri akan membolehkan universiti mendedahkan pelajar kepada amalan dan pemahaman terkini dalam bidang blockchain dan fintech ini,” ujar beliau.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *