HomeIsu tempatanMasyarakat Papar dinasihat guna air secara berhemat

Masyarakat Papar dinasihat guna air secara berhemat

Read Time:1 Minute, 44 Second

Papar: Masyarakat di daerah ini dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemat susulan bencana kemarau yang berlaku sejak minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Mohd Fuad Abdullah berkata, langkah tersebut dapat memberi peluang kepada penduduk di kawasan lain untuk mendapat bekalan air bersih.

“Semalam, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melaporkan jumlah pengeluaran air harian masih kekal 35 juta liter sehari (MLD) di Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon tetapi tahap tangki p1 masih kritikal.

“Tangki p1 adalah tangki simpanan air yang berkapasiti 10  MLD dan ia menyalurkan air dari LRA Kogopon kepada pengguna dan lori-lori yang mengambil air di loji ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian paip bocor jenis MSCL berukuran 1,200mm di LRA Kogopon pada Selasa lalu, Mohd Fuad memaklumkan terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang menganggap isu air di daerah tersebut telah selesai secara keseluruhan.

“Hingga hari ini pun, masih ramai yang keliru dengan kejadian paip utama yang bocor pada Selasa lalu. Mereka menganggap dengan pulihnya kerosakan paip utama di LRA Kogopon itu, masalah air di daerah ini selesai secara keseluruhan.

“Sebenarnya, jumlah pengeluaran air harian masih di tahap yang sama seperti sebelum kejadian paip bocor,” katanya kepada media ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Papar.

Menurutnya, pihaknya amat bersyukur kerana usaha menangani bencana kemarau mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak dan berharap agar sumbangan serta bantuan tenaga serta logistik tersebut memberi manfaat kepada penduduk-penduduk yang terkesan bencana.

“Kita menerima sumbangan air minuman daripada syarikat pengeluar air minuman berbotol, Life Water Industries Sdn Bhd dengan jumlah 3,600 botol.

“Air minuman ini akan diserah kepada Pejabat Parlimen Papar untuk mereka agihkan kepada ketiga-tiga DUN iaitu Kawang, Pantai Manis dan Limbahau.

“Selain air minuman, kita juga menerima kerjasama daripada pihak swasta seperti Puncak Mas Resources/Garin Rbi20 yang menyediakan dua buah lori 10 tan dan dua lagi lori tiga tan untuk menghantar air ke kawasan-kawasan yang terkesan kemarau,” katanya.

Turut menyumbang, Syarikat Asli Jati Engineering yang menyediakan sukarelawan air seramai 189 orang yang dikerah bagi membantu operasi penghantaran air di daerah ini setiap hari.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 2,000 pengunjung imarahkan Konvensyen Al-Quran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya