HomeUtamaPolis Sabah tubuh pasukan petugas khas siasat kes kematian pelajar asrama kolej...

Polis Sabah tubuh pasukan petugas khas siasat kes kematian pelajar asrama kolej di Lahad Datu

Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah telah menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat kes seorang pelajar yang ditemui mati di asrama Kolej Vokasional Lahad Datu baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, penubuhan pasukan petugas ini adalah untuk membantu memastikan perjalanan ke atas kes ini dibuat secara cepat, profesional dan teratur.

“Untuk memastikan ketelusan siasatan PDRM dalam menangani isu berkenaan dalam kes ini maka kontinjen polis Sabah telah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk membantu memastikan perjalanan ke atas kes ini dibuat secara cepat, profesional dan teratur,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Polis Ke-217 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sabah di Kepayan hari ini.

Pada masa sama, beliau juga turut mengingatkan kepada orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi mengenai kes ini.

“Kita mengharapkan bahawa dengan siaran berita ini jangan lagi ada timbul berbagai-bagai spekulasi berkaitan dengan kes ini.

“Biar pihak PDRM menjalankan siasatan dan jangan menimbulkan apa-apa spekulasi mengenai perkara ini,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Jauteh berkata reman ke atas 13 orang pelajar akan tamat sehingga 29 Mac ini dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala jumlah tahanan untuk siasatan setakat ini masih lagi berjumlah 13 orang.

“Setakat ini ada beberapa orang yang kita ambil untuk rakaman percakapan termasuklah dari pihak warden dan juga rakan-rakan mangsa yang lain,” katanya.

Ditanya mengenai hasil bedah siasat ke atas mangsa, beliau berkata, buat masa ini pihak polis belum dapat memaklumkan sebab atau punca kematian daripada hasil bedah siasat berkenaan.

“Memandangkan kes ini masih dalam siasatan jadi memang bedah siasat mayat mangsa itu telah dilaksanakan, tapi untuk tidak menimbulkan apa-apa spekulasi buat masa ini pihak polis belum dapat memaklumkan sebab kematian daripada hasil bedah siasat berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Jauteh walaupun pihak PDRM telah memaklumkan berulangkali dalam program-program kesedaran yang dilaksanakan mengenai jenayah dan kes buli di sekolah-sekolah di tetapi keadaan ini masih lagi berlaku.

Justeru, beliau berharap bahawa insiden ini akan memberikan kesedaran lebih tinggi kepada semua pihak, bukan sahaja pihak pengurusan sekolah tetapi juga pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) agar memainkan peranan dari perkara-perkara seumpama ini.

“Pihak PDRM akan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak pentadbiran sekolah mahupun PIBG sekolah untuk memberikan apa juga bantuan yang dapat membendung perkara-perkara ini daripada berterusan,” tegas beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Kementerian Kewangan berjaya tingkatkan pendapatan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular